Kemalangan maut motosikal di lebuh raya meningkat

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Jumlah kemalangan maut membabitkan motosikal di lebuh raya dan jalan ekspres seluruh negara menunjukkan peningkatan dengan keseluruhan 2,732 kes direkodkan sepanjang tiga tahun lalu.

Berdasarkan statistik, sebanyak 805 kes direkodkan pada 2023, meningkat kepada 860 kes pada 2024, sebelum melonjak kepada 1,067 kes pada 2025.

Menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, faktor utama kemalangan tersebut berpunca daripada sikap dan tingkah laku penunggang itu sendiri termasuk menunggang secara cuai serta kecuaian ketika keluar masuk simpang.

“Menunggang pada kelajuan tinggi dan secara berbahaya turut meningkatkan risiko hilang kawalan.

"Amalan mengekori kenderaan lain terlalu rapat juga menyumbang kepada berlakunya kemalangan serius dan maut, khususnya di jalan raya yang sibuk dan berkelajuan tinggi," katanya kepada Sinar Harian.

Ujar JSPT, langkah penguatkuasaan bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian melibatkan penunggang motosikal di laluan Persekutuan, negeri dan lebuh raya merangkumi peningkatan operasi sekatan jalan raya serta rondaan berkala di lokasi berisiko tinggi.

Jelasnya, penguatkuasaan turut memfokuskan kesalahan utama seperti menunggang melebihi had laju, menunggang secara berbahaya, melanggar lampu isyarat merah, tidak memakai topi keledar dan menunggang di lorong tidak dibenarkan.

foto hiasan

”Selain itu, penggunaan teknologi seperti kamera had laju, kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) dan dron pemantauan di lebuh raya dipertingkatkan bagi mengesan kesalahan secara automatik.

”Langkah lain termasuk penguatkuasaan khas sempena musim perayaan, tindakan tegas terhadap penunggang yang mengubah suai motosikal secara tidak sah dan kerjasama dengan pengendali lebuh raya bagi menambah baik pengurusan trafik dan keselamatan di laluan utama,” ujarnya.

Sementara itu, statistik keseluruhan kes kemalangan maut melibatkan motosikal di jalan ekspres, jalan bandaran, jalan negeri, jalan Persekutuan dan lain-lain merekodkan 4,968 kes pada 2023, manakala 4,993 kes (2024) dan 6,074 kes (2025).

Tambah JSPT, motosikal kapasiti enjin 250cc ke bawah merekodkan jumlah kemalangan maut, parah dan cedera paling tinggi iaitu 30,717 kes pada 2023, diikuti 29,697 (2024) dan 28,881 kes (2025).

”Bagi motosikal 250cc ke atas, statistik kemalangan tidak menunjukkan perubahan ketara dengan 649 kes direkodkan pada 2023, menurun sedikit kepada 620 kes (2024) sebelum meningkat kepada 673 kes pada 2025,” ujarnya.

Dalam pada itu, JSPT berpandangan larangan atau mengehadkan kemasukan motosikal memasuki lebuh raya mengikut kapasiti dan masa tertentu seperti dilaksanakan di Filipina, China, Indonesia dan Vietnam boleh dipertimbangkan sebagai langkah keselamatan bersasar bagi mengurangkan risiko kemalangan maut.

Menurut JSPT, pendekatan itu berpotensi mengurangkan konflik antara motosikal berkuasa rendah dengan kenderaan berat dan berkelajuan tinggi terutama di lebuh raya bertol yang direka untuk trafik laju.

”Bagaimanapun, pelaksanaannya perlu dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira kebergantungan penunggang motosikal sebagai mod pengangkutan harian, implikasi sosial dan ekonomi serta ketersediaan laluan alternatif yang selamat.

”Sebarang pelaksanaan wajar dibuat secara berperingkat, disokong oleh kajian impak keselamatan, penambahbaikan infrastruktur seperti lorong motosikal yang berterusan dan kempen kesedaran serta penguatkuasaan yang konsisten.

"Ia bagi memastikan keseimbangan antara keselamatan jalan raya dan keperluan mobiliti rakyat,” ujar JSPT.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Bagi tangkapan sebelum ini, (suspek) diberikan jaminan polis (selepas selesai tempoh reman). "…
Berita Domestik
Menurutnya, kereta terbabit dipandu secara laju dan melulu bersama sebuah lagi Mercedes Benz A250…
Berita Domestik
"Pemeriksaan mendapati suspek memiliki lesen memandu yang sah. "Lelaki warga emas itu dibebaskan…