Kemalangan lima kereta, pemandu Myvi didakwa miliki ganja

oleh Mohamad Hanif|
Seorang penganggur yang ditahan selepas disyaki menyebabkan kemalangan lima kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di daerah Rembau, Ahad lepas, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memiliki ganja.

Mengikut kertas pertuduhan, Munzir Azmeer Abd Rahim, 28, didakwa memiliki tumbuhan kering disyaki dadah kanabis dianggar seberat 3.39 gram di dalam kereta jenis Perodua Myvi di Kilometer 242.9 di lebuh raya PLUS arah selatan, dalam daerah Rembau, kira-kira 10.25 pagi pada 5 Jun lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah, Che Ku Nor Azlinda Che Ku Mahmood.

Tiada jaminan ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Yap Tsu Sheng dan sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Jun ini.

Sumber: Bernama

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut kementerian kereta api berkata, perkhidmatan pertama tren kargo yang sarat dengan arang…
Berita Global
Menterinya, Ashwini Vaishnaw walau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut memandangkan…
Berita Domestik
Perodua Alza baharu kini boleh dikatakan sebagai MPV paling laris di Malaysia yang menepati ciri…