Acara UGS di Hutan Simpan Paya Bakau Kubang Badak, Langkawi baru-baru ini mencatatkan kejayaan dengan penanaman 5,900 pokok bakau.
Ia menjadikan jumlah pokok bakau yang ditanam pada tahun 2023 ialah sebanyak 12,000 termasuk 6,100 pokok bakau yang telah ditanam di Tanjung Tuan pada Mac.
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk K. Ravindran berkata, kejayaan itu membuktikan keazaman syarikat terbabit untuk mencipta masa depan yang lebih hijau dan mampan selain sebagai usaha penting dalam mendefinisikan semula mobiliti.
"Karbon adalah musuh nombor satu kita, oleh itu menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bersama demi masa depan yang lebih baik.
"Melalui inisiatif seperti UGS, kami komited untuk merealisasikan falsafah 'move your world' yang mendefinisikan semula mobiliti sebagai aspek penting dalam kehidupan seharian." katanya.
Ujar beliau, ia selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSDG) untuk memelihara dan memulihara ekosistem darat serta menguruskan hutan secara mampan.
Katanya, perkara itu juga menyokong Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Kebangsaan 2020-2050 dan menjadi faktor untuk mencipta masa depan yang lebih hijau serta neutral karbon.
"Matlamat tersebut sejajar dengan komitmen Toyota untuk mencapai neutral karbon menjelang tahun 2050 yang merangkumi pengurangan pelepasan CO2 secara praktikal.
"Toyota yakin dengan kuasa inovasi. Matlamat kami bukan sahaja untuk mencapai neutraliti karbon tetapi juga mewujudkan masyarakat yang lebih terhubung, di mana individu boleh membuat pilihan yang sesuai dengan gaya hidup mereka,”katanya.
Program UGS dijayakan hasil kerjasama sukarelawan kakitangan UMWT serta para pelajar dan guru dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Langkawi, penduduk Kampung Kubang Badak, Langkawi dan ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).
Penyertaan UMW Motor dalam Inisiatif UGS itu membuktikan peranan warga korporat yang bertanggungjawab secara sosial.
Penulis: Firdaus Razani