Kekurangan stok bateri LG Chem, Jaguar henti sementara produksi I-PACE

oleh Mohamad Hanif|
Dalam satu perkembangan terkini, Jaguar Land Rover merancang untuk menghentikan sementara produksi SUV elektrik I-Pace melihatkan kepada kekurangan bekalan bateri daripada pembekal LG Chem, menurut laporan daripada The Times.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Fasa produksi akan dihentikan buat sementara waktu bermula 17 Februari di Magna Steyr, Graz, Austria.

Ini merupakan kali ketiga kejadian kekurangan bekalan komponen dilaporkan dari LG Chem dan menjejaskan pengeluaran kenderaan elektrik. 

Tahun 2017, Hyundai mengalami gangguan pengeluaran Ioniq EV disebabkan LG Chem tidak mampu memenuhi permintaan yang tinggi, diikuti pada April 2019 yang mengakibatkan kelewatan penghantaran Audi E-Tron kepada para pelanggan. 

Malah, Mercedes-Benz juga turut merancang untuk mengurangkan sasaran penjualan EQC akibat kekurangan bekalan bateri daripada LG Chem.

 


Menurut Jaguar Land Rover lagi, kelewatan ini berpunca daripada kilang penghasilan bateri EV LG Chem di Poland, namun tidak mendedahkan secara terperinci permasalahan yang telah dicetuskan. 

Beberapa syarikat automotif mengambil langkah berjaga-jaga bagi membendung masalah sebegini, seperti contoh Volkswagen membelanjakan $50 billion bagi 'mengunci' bekalan daripada tiga syarikat yang berbeza. 

Manakala Tesla pula telah menandatangani perjanjian dengan Panasonic, serta LG Chem dan Contemporary Amperex Technology (CATL) untuk membekalkan bateri ke kilang Gigafactory di China. 

 


Seorang pakar industri melahirkan rasa pelik dengan situasi yang dihadapi oleh Jaguar Land Rover, memandangkan syarikat itu hanya menjual 18,000 unit I-Pace pada tahun 2019 - tahun pertama penuh penjualan SUV tersebut.

"Sama ada mereka menghadapi masalah untuk tidak menghasilkan EV yang terlalu berjaya (sehingga menenggelamkan model Jaguar yang lain), ataupun mereka sangat lemah dalam strategi perniagaan," ujar Sam Jaffe, pengarah urusan Cairn Energy Research Advisors dalam satu emel balasan terhadap The Verge.

Sumber: The Verge