Kekerapan perjalanan tren dikurangkan hingga 31 Mac

oleh SALINA JALIL|
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengurangkan kekerapan perjalanan tren bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS), KTM Antarabandar, KTM Komuter dan Skypark Link telah berkuat kuasa dari semalam sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan, 31 Mac ini.


Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Ir. Kamarulzaman Zainal, berkata perkhidmatan ETS akan beroperasi sebanyak lapan perkhidmatan sehari berbanding 40 ketika ini, KTM Antarabandar 10 perkhidmatan berbanding 18 dan KTM Komuter akan beroperasi sebanyak 164 perkhidmatan berbanding 208 sehari.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

"Operasi komuter pada hari minggu pula akan dikurangkan kepada 138 perkhidmatan berbanding 167 sehari. 

“Untuk tren Shuttle Tebrau, yang beroperasi di antara Stesen Johor Bahru Sentral, Johor Bahru dan Stesen Woodlands, Singapura pula, dikurangkan kepada lapan perkhidmatan sehari berbanding 31 sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut dikurangkan perkhidmatan tren Skypark Link di antara Stesen Kuala Lumpur Sentral dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang kepada lapan larian sehari, berbanding 32 perkhidmatan ketika ini.

Kamarulzaman berkata pengurangan itu dilakukan bagi mengoptimumkan operasi tren sejajar dengan arahan kerajaan sepanjang tempoh perintah kawalan bagi mengurangkan pergerakan rentas negeri. 

Beliau memaklumkan ia turut mengambil kira faktor pengurangan jumlah penumpang yang mendadak ekoran bertambahnya kes penyebaran wabak COVID-19.

Operasi semua tren itu akan dikaji dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan dan arahan terkini kerajaan, katanya.

Sementara itu, Kamarulzaman berkata penumpang juga boleh membuat pindaan tarikh perjalanan atau pembatalan tiket di kaunter atau menerusi laman sesawang www.ktmb.com.my. 

Orang ramai digesa mendapatkan maklumat semasa operasi tren menerusi laman sesawang tersebut atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di 0322671200. 

 

 

-- BERNAMA

Berita Berkenaan

Informasi
  "KTMB sudah pun menggunakan platform digital untuk penjualan tiket yang membolehkan orang ramai…
Informasi
"Enam perkhidmatan ETS adalah melibatkan dua perkhidmatan laluan untuk KL Sentral - Padang Besar -…
Berita Domestik
"Untuk itu kementerian menerusi Perbadanan Aset Keretapi sedang mengusahakan inisiatif perolehan…