Kekeliruan pada terma bateri model EV pertama, Perodua beri penjelasan

oleh Penyumbang Rencana|
Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menegaskan salah faham komunikasi di peringkat dalaman, khususnya pada klausa patuh Syariah, menjadi punca kekeliruan yang tular berhubung terma penggunaan dalam skim Battery as a Service (BaaS) bagi kenderaan elektrik (EV) pertamanya, QV-E.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata klausa berkenaan tidak pernah bertujuan untuk mewajibkan pelanggan mengendalikan kenderaan mengikut penggunaan patuh Syariah seperti yang ditafsirkan pengguna media sosial.

Katanya, rujukan berkenaan muncul akibat salah faham terhadap maksud sebenar ketika penyediaan awal dokumen.

"Ia bukanlah niat kami untuk mengenakan kewajipan penggunaan patuh syariah ke atas pelanggan," katanya dalam kenyataan susulan tular petikan dokumen BaaS di media sosial yang menimbulkan kekeliruan mengenai sekatan penggunaan.

Isu itu tercetus apabila petikan helaian terma dan syarat BaaS tular di media sosial, memaparkan klausa yang menyebut kenderaan dan bateri harus digunakan bagi tujuan patuh Syariah.

Penyebaran itu mencetuskan perbincangan hangat, dengan pengguna di Twitter, Reddit dan Facebook berkongsi tangkap layar serta membuat andaian bahawa pemilik QV-E mungkin berdepan sekatan penggunaan seperti larangan e-hailing atau penggunaan yang dianggap tidak patuh syariah.

Susulan itu, Perodua segera mengemas kini helaian pendedahan BaaS dan membuang klausa terbabit, selain memperincikan semula terma rasmi skim berkenaan.

Penjelasan berkenaan turut disertakan dalam kenyataan syarikat, sekali gus menamatkan kekeliruan mengenai niat asal dokumen berkenaan.

Dalam skim BaaS, Perodua menjual badan kenderaan manakala bateri disewakan kepada pelanggan melalui langganan jangka panjang berkonsepkan Ijarah Operasi berasaskan Syariah.

Model ini digunakan bagi menurunkan harga belian awal dan mengurangkan kebimbangan mengenai kos penggantian bateri serta nilai jual semula.

Mengikut maklumat teknikal yang dilaporkan, kadar sewa bateri dianggarkan sekitar RM275 sebulan untuk tempoh sembilan tahun, tidak termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Bateri kekal sebagai milik Perodua, dengan penyelenggaraan dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat, termasuk penggantian unit sekiranya tahap kesihatan turun di bawah 70 peratus.

Pelancaran QV-E pada Isnin lalu menarik perhatian umum apabila model itu ditawarkan pada harga RM80,000 di atas jalan tanpa insurans, tidak termasuk bateri yang disewa berasingan di bawah skim BaaS.

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Penganalisis Kenanga Research, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz melaporkan, penurunan harga itu turut…