Kehabisan bekalan petrol, Sri Lanka cuba minta bantuan Rusia, Qatar

oleh Mohamad Hanif|
Sri Lanka yang kekurangan wang, hari ini mengumumkan akan menghantar menterinya ke Russia dan Qatar sebagai cubaan mendapatkan harga minyak murah, sehari selepas kehabisan bahan api di negara itu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Susulan krisis bahan api, kerajaan negara itu melanjutkan dua minggu lagi penutupan institusi negeri tidak penting sehingga notis lanjut, dalam usaha menjimatkan bahan api.

Ia termasuk mengekalkan sejumlah kecil kakitangan untuk menyediakan perkhidmatan minimum.

Menteri Tenaga, Kanchana Wijesekera, berkata dua menteri akan 'dikerahkan' ke Russia esok, untuk berbincang bagi mendapatkan lebih banyak bekalan minyak.

Langkah itu selepas Sri Lanka membeli 90,000 tan minyak mentah Siberia bulan lalu.

Urusan penghantaran diuruskan melalui Energy Coral, sebuah syarikat perantara yang berpusat di Dubai.

Bagaimanapun, ahli politik mendesak pihak berkuasa untuk berunding secara terus dengan kerajaan Russia di bawah pimpinan Presiden Vladimir Putin.

"Dua menteri akan pergi ke Russia dan saya akan pergi ke Qatar esok untuk melihat sama ada kita boleh mengatur syarat konsesi," kata Wijesekera kepada pemberita di sini.

Wijesekera mengumumkan Sabtu lalu bahawa Sri Lanka sudah kehabisan petrol dan diesel, selepas beberapa jadual penghantaran ditangguhkan buat satu tempoh yang tidak pasti atas alasan 'perbankan'.

Rizab bahan api cuma memadai untuk keperluan lebih dua hari dan ia disimpan untuk kegunaan perkhidmatan penting, kata Wijesekera sambil memohon maaf atas situasi yang berlaku.

Ceylon Petroleum Corporation, firma minyak yang dikendalikan kerajaan, hari ini menaikkan harga diesel sebanyak 15 peratus kepada 460 rupee (RM5.62) seliter dan petrol pula sehingga 22 peratus kepada 550 rupee (RM6.72).

Sejak awal tahun, harga diesel naik hampir empat kali, manakala harga gas hampir tiga kali.

Menurut Wijesekera, akan berlaku kelewatan yang tidak pasti untuk menghantar bekalan minyak baharu.

Beliau menggesa pemilik kenderaan supaya tidak beratur sehingga kerajaan memperkenalkan sistem token untuk bilangan kenderaan dalam jumlah yang terhad, setiap hari.

Sumber: Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Global
Awal bulan ini, Menteri Pelancongan, Harin Fernando berkata, Sri Lanka merancang memansuhkan visa…
Berita Global
Ia turut menyaksikan pembekuan import sejak tahun 2020, sekaligus menghentikan penjualan kenderaan…
Berita Global
Kebanyakan lagu-lagu yang dimainkan berasal daripada filem-filem bajet rendah, dan adakalanya…