Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi Op Parkir Haram yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur bermula jam 9 malam, 24 April lalu berjaya menahan 11 individu berusia 19 hingga 60 tahun.
Menurutnya, semakan mendapati lima daripada suspek ialah warga asing membabitkan kewarganegaraan India dan Bangladesh.
"Selain itu, dua tangkapan warga tempatan ini juga didapati memiliki dua rekod lampau bersabit kes dadah serta orang dikehendaki.
"Siasatan awal polis mendapati suspek terbabit melakukan kesalahan mengutip bayaran parkir kenderaan secara haram serta merampas wang tunai yang diambil dari pemandu-pemandu secara paksaan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, mereka ini mengenakan caj antara RM10 hingga RM20 untuk setiap kenderaan yang diparkir.
Katanya, ada antara kegiatan ini mula aktif sejak sebulan hingga dua bulan lalu.
"Siasatan masih dijalankan dan tindakan akan diambil di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mendesak mana-mana orang lain yang berkenaan dengan penjagaan kenderaan," ujarnya.