Kediaman mewah Bentley tampilkan lif khas Dezervator khusus untuk bawa kereta naik ke tingkat 61!

oleh Mohamad Hanif|
Pada bulan April tahun lalu, Bentley mengumumkan pembinaan menara apartment mewah setinggi 61 tingkat bertempat di Miami, dengan kapasiti 200 unit kediaman, garaj tersendiri serta lif khusus untuk membawa kereta naik sehingga ke tingkat paling atas.

Lif tersebut dikenali sebagai Dezervator, sebagai satu penghormatan kepada rakan kerjasama Dezer Development.
 

Bentley


Terdapat sehingga empat lif Dezervator disediakan untuk kediaman Bentley Residences, setiap satu menampilkan sistem hidraulik yang akan menarik kereta untuk menaiki sistem pengangkut robotik yang akan membawa kenderaan mewah anda naik atau turun ke tingkat yang betul.

Pemilik tidak perlu keluar dari kereta, dan sepanjang tempoh berada di dalam lif tersebut mereka akan dihidangkan dengan pengalaman pemandangan panorama yang unik daripada dinding kaca lif tersebut.
 

Bentley


Berbalik kepada kediaman mewah itu tadi, Bentley Residences menawarkan apartment dengan garaj 106 meter persegi yang mampu memuatkan tiga kereta, atau sehingga 144 meter persegi yang mampu memuatkan empat kenderaan peribadi, lengkap dengan kemudahan seperti pengecasan EV untuk setiap tingkat.

Pelekat RFID akan dipasangkan pada setiap kenderaan, di mana ia akan diimbas secara automatik sewaktu tiba di bangunan, dan akan mengaktifkan sistem pencahayaan untuk memberikan panduan kepada pemandu untuk meletakkan kereta ke dalam Dezervator dengan betul.
 

Bentley


Selain daripada garaj peribadi, setiap unit apartment didatangkan dengan perabot yang dihasilkan oleh Bentley Home, serta menjanjikan kemudahan seperti balkoni peribadi, kolam renang, sauna, serta kemudahan umum seperti gimnasium, spa, restoran, bar dan kebun lanskap.

Harga untuk sebuah unit bermula dari $4.2 juta (RM18.78 juta) dan kompleks kediaman ini dijangka siap menjelang 2026.