Menurut Leftenan Kolonel Sakarin Anusamansakul, Timbalan Ketua Polis Pelancong Thailand, jalan-jalan perkampungan adalah sunyi dan jarang digunakan oleh orang awam dan ini akan meningkatkan risiko keselamatan.
Beliau turut menekankan bahawa kawasan-kawasan pelancongan di Ban Thon masih selamat untuk orang asing kerana insiden letupan bom yang berlaku itu disasarkan kepada anggota pasukan keselamatan dan bukannya orang awam atau pelancong.
"Kerajaan Thailand akan sentiasa memantau dan melakukan kawalan serta pengawasan di kawasan-kawasan awam untuk menjaga keselamatan semua. Pelancong dari Malaysia tidak perlu khuatir akan keselamatan mereka," ujarnya kepada Bernama.
Ahad lalu, tujuh orang tercedera apabila sebutir bom buatan sendiri meletup di tepi jalanraya berhampiran sebuah pos kawalan polis di Ban Thon.
Ban Thon adalah salah satu dari destinasi pelancongan tepi pantai yang terkenal di kalangan warga Malaysia yang mahu mencari makanan-makanan asli Thai.
- Bernama