Kawasaki Ninja ZX-4RR 2023 - nadi inline-4 399 cc, 79 hp

oleh Mohamad Hanif|
Kawasaki baharu sahaja memperlihatkan model baharu Ninja ZX-4RR 2023 yang bakal memasuki pasaran Amerika Syarikat, serta di pasaran Eropah pada separuh kedua tahun 2023.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Membezakannya dengan Ninja 400 sedia ada sudah pasti dari segi penawaran enjin.

Ini kerana, Ninja ZX-4RR kini dilengkapi dengan nadi inline-4 399 cc DOHC 16 injap yang mampu menghasilkan kuasa 79 hp dan daya kilas 35.9 Nm, dengan had putaran enjin melebihi 15,000 rpm.
 

ZX4RR


Ninja ZX-4RR turut dilengkapi dengan liang Ram-Air, serta teknologi kawalan cengkaman KTRC dengan tiga pilihan mod, serta fungsi penukaran gear pantas KQS dua arah.

Sistem gantungan terdiri daripada fork depan Showa Separate Function Fork-Big Piston (SFF-BP) jenis terbalik bersaiz 37 mm, diikuti dengan sistem horizontal back-link dan penyerap hentak gas Balance Free Rear Cushion (BFRC) di bahagian belakang.
 

ZX4RR


Aspek pemberhentian diserahkan kepada angkup Nissin empat omboh dengan rotor berkembar 290 mm di depan, angkup omboh tunggal dengan rotor tunggal 220 mm di bahagian belakang serta sistem ABS dua saluran.

Rim bersaiz 17 inci itu dibaluti dengan tayar Dunlop Sportmax GPR-300.
 

ZX4RR


Ciri lain yang dimuatkan termasuklah lampu utama dan belakang LED, lampu membelok LED, serta tidak ketinggalan skrin paparan TFT 4.3 inci berwarna penuh yang turut menyokong sambungan kepada aplikasi RIDEOLOGY.

Untuk pasaran Amerika Syarikat, harga jualan Kawasaki ZX-4RR ini bermula dari $9,699 (RM41,163).

Selain daripada versi RR, terdapat juga varian asas Ninja ZX-4R dan Ninja ZX-4R SE, namun penawaran varian tersebut adalah bergantung kepada pasaran.