Kawasaki Ninja 650 ABS sesuai untuk kegunaan penunggang baru

oleh Afandi Che Muhamad|
Penghujung Februari tahun lalu, Kawasaki Motors Malaysia Sdn. Bhd. (KMSB) selaku pengedar rasmi jenama Kawasaki di Malaysia telah memilih memperluaskan lagi portfolio rangkaian Ninja untuk pasaran domestik.

Perkara itu dibuktikan menerusi penawaran tiga model Ninja baharu seperti Kawasaki Z650 ABS, Ninja 650 ABS dan Kawasaki Ninja 650 ABS Special Edition.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Baru-baru ini, Careta berpeluang menunggang uji salah satu daripada tiga model baharu berkenaan. Model dimaksudkan tidak lain tidak bukan ialah Kawasaki Ninja 650 ABS.

Bagi sesi tunggang uji kali ini, Careta diberikan masa selama seminggu oleh Penolong Pengurus Pemasaran KMSB, Ahmad Radzi untuk menilai prestasi dimiliki nadi enjin jenis dua silinder sebaris berkenaan.

Pertama kali melihat model supersports baharu ini sebaik tiba di ruang parkir motosikal KMSB, ia jelas mewarisi ciri solekan sama seperti model 'abangnya', Kawasaki ZX-10R terutamanya di bahagian hadapan.

Saat melabuhkan punggung di atas pelana Ninja 650 ABS, apa yang dapat diperkatakan adalah jarak capaian pelana motosikal ini dari permukaan tanah agak rendah sehingga membolehkan kedua-dua kaki penulis memijak lantai dengan mudah.

Membelek bahagian bar hendal jentera tersebut, postur badan penulis terasa sedikit ke hadapan bagi membolehkan aspek kawalan motosikal dapat dikendalikan dengan baik.

Selain itu, butang kawalan motosikal juga mampu dicapai penulis dengan mudah kerana ia dipasangkan berdekatan antara satu sama lain.

Sebaik sahaja enjin Ninja 650 ABS dihidupkan, ujian pertama yang menanti motosikal tersebut adalah ke Parit Jawa, Muar, Johor bagi sesi fotografi bersama unit pandu uji, Subaru XV baharu.

Untuk makluman, Careta sengaja memohon unit tunggang uji dengan tona warna sama kali ini. Warna pilihan dimaksudkan ialah jingga. Pasti gambar yang diperoleh lebih cantik berbanding kebiasaan.

Perah sahaja pendikit model tersebut, penulis dapati respons dihasilkan adalah sederhana dan prestasi penukaran gear lancar tanpa sebarang kesukaran. Lembut dan lancar.

Ketika mendesak panel meter julat pusingan enjin per minit (RPM) ke paras 8,000 ke atas, kuasa yang terhasil begitu menyeronokkan.

Makin lama, alunan irama ekzos terdengar semakin nyaring (meski pun, bunyi dihasilkan tidak sehebat enjin empat silinder sebaris) terutamanya apabila meter RPM melepasi paras 6,000. 

Sepanjang perjalanan itu, penulis sempat menguji kelajuan maksima yang mampu dicapai model ini dan hasilnya juga cukup memuaskan. Kelajuan tertinggi yang mampu dicatatkan Ninja 65 ABS ini ialah 200 kilometer sejam (km/j).

Tamparan angin ketika pecutan tersebut dilakukan nampaknya berjaya diminimumkan aplikasi penghadang angin yang terdapat pada model ini.

Getaran enjin juga tidak terasa. Keluar sahaja persimpangan Plaza Tol Tangkak, penulis kemudian berdepan dengan laluan berliku dan beralun untuk ke lokasi pengambaran.

Ditambah pula dengan hujan, penulis begitu berhati-hati ketika mengambil selekoh kerana roda belakang didapati mudah 'membuang' susulan permukaan jalan licin. Ketika ini, penulis memilih untuk menunggang menggunakan gear rendah selain mengelakkan tindakan membrek.

Berkenaan suhu enjin pula, haba yang keluar hasil pembakaran ruang dalam enjin tidak begitu dirasai penulis.

Menyentuh perihal penggunaan minyak petrol, penulis kagum kerana satu isian penuh petrol ke dalam tangki 18 liter model ini hanya menuntut kos sebanyak RM25.

Sepanjang seminggu sesi tunggang uji model ini mengambil tempat, penulis telah mengembara sejauh lebih 1,500 kilometer (km). Antara destinasi yang dikunjungi penulis selain Parit Jawa, Muar ialah Arau, Perlis.

Secara ringkas, penulis menyifatkan motosikal ini sesuai untuk kegunaan individu yang ingin mengasah skil tunggangan sebelum menaik taraf kepada jentera satu liter.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Hak pengedaran tersebut kini dipenuhi oleh Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat Motosikal…
Berita Domestik
Keputusan itu dibuat oleh barisan lembaga pengarah KMSB mengambil kira beberapa perkembangan…
Berita Global
“Pelaburan dalam bentuk motosikal retro atau klasik adalah lebih menguntungkan dan disamping itu,…