Kawalan jualan diesel di Sabah, Sarawak, Labuan dibatalkan

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Arahan kawalan penjualan diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dibatalkan sepenuhnya berkuat kuasa hari ini, selaras dengan pelaksanaan mekanisme baharu pembelian diesel bersubsidi menggunakan MyKad di stesen minyak.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam, berkata pembatalan itu membabitkan Arahan Melaksanakan Kawalan Penjualan Diesel Ke Atas Kenderaan Pengangkutan Darat bertarikh 27 Mac 2026.

Dalam kenyataan pada Selasa, beliau berkata pembatalan arahan berhubung had kuantiti jualan diesel sebanyak 50 liter, 100 liter dan 150 liter dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri sebelum ini.

“Pembatalan arahan tentang kuantiti jualan 50 liter, 100 liter dan 150 liter ini dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri pada 21 Jun 2026 berhubung penyeragaman harga diesel bersubsidi di bawah Program BUDI Diesel kepada RM2.10 seliter, serta pelaksanaan mekanisme baharu pembelian diesel bersubsidi menggunakan MyKad di stesen minyak bermula 1 Julai 2026,” menurutnya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, semua pemegang lesen barang kawalan berjadual runcit yang menjual petrol atau diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan diminta mengambil maklum bahawa arahan kawalan penjualan diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat tidak lagi berkuat kuasa mulai hari ini (Rabu).

Beliau berkata, mekanisme baharu yang diperkenalkan kerajaan diyakini mampu memastikan pengagihan diesel bersubsidi dilaksanakan secara lebih bersasar, cekap dan berkesan, di samping memudahkan urusan pengguna yang layak.

Pada masa sama, KPDN turut menyeru semua pihak supaya mematuhi sepenuhnya arahan serta mekanisme baharu yang ditetapkan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara.

BuletinTV3

Berita Berkenaan

Berita Domestik
“Stesen minyak perlu menjual barang kawalan sehingga stok habis. Walaupun baki yang tinggal hanya…
Berita Domestik
"Kerajaan akan meneruskan intervensi bersasar, termasuk mengekalkan bantuan BUDI MADANI Diesel…
Berita Domestik
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati insiden berkenaan berlaku pada 13 Mei lalu kira-kira…