Pengarah Kastam negeri, Mohd Nadzri Ariffin berkata serbuan serentak dilakukan hasil maklumat dan risikan ke atas dua premis disyaki memiliki barangan larangan import iaitu kenderaan mikromoboliti seperti 'moped bike', basikal kuasa elektrik dan 'personal mobility device' kuasa elektrik.
Katanya, semakan awal dokumen pembelian dan pengimportan dikemukakan ketika serbuan mendapati ia diseludup masuk ke dalam negara tanpa permit.
"Hasil serbuan di lokasi pertama, sejumlah 130 unit kenderaan mikromoboliti dianggarkan bernilai RM346,200 dan membabitkan cukai RM252,726 disita.
"Kita turut menyita 17 unit kenderaan sama di lokasi kedua dianggar bernilai RM64,088 dan membabitkan cukai RM45,068.60 dengan rampasan keseluruhan termasuk cukai bernilai RM708,082.60.
"Dua pemilik premis masing-masing berusia 39 dan 37 tahun ditahan untuk siasatan lanjut, sebelum dibebaskan dengan jaminan JKDM," katanya pada sidang media pada Ahad.
Mohd Nadzri berkata, siasatan mendapati pihak terbabit membawa masuk kenderaan mikromoboliti secara komponen terlerai ke dalam negara dengan melakukan ikrar palsu ketika proses pengimportan.
Katanya, komponen terbabit akan dipasang di gudang di Pantai Barat sebelum diedarkan kepada penjual di seluruh negara.
Kenderaan mikromoboliti dikategorikan barangan larangan import di bawah Item No 7, Bahagian 11, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.