KASTAM RAMPAS MOTOSIKAL MINI SELUDUP

oleh Hamimah Hamid|
JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak menggagalkan cubaan menyeludup motosikal mini dalam tiga serbuan berasingan di Pusing, Ipoh baru-baru ini.

Pengarah JKDM Perak, Datuk Dr. Mohamad Saprin berkata, dalam serbuan pada Jumaat lalu di tiga lokasi berbeza di Pusing, Ipoh itu, JKDM telah merampas 45 unit motosikal import dengan nilai termasuk cukai berjumlah RM100,000.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Katanya, rampasan itu dibuat selepas serbuan dan pemeriksaan dijalankan ke atas dua buah rumah dan satu premis rumah kedai.

“Hasil pemeriksaan rapi yang dilakukan oleh pasukan serbuan di tiga lokasi ini mendapati terdapat 45 unit motosikal import dengan nilai cukai dan harga lebih kurang RM100,000 yang disyaki barang larangan.

“Melalui ketiga-tiga serbuan itu, dua lelaki dan seorang wanita tempatan ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.
Menurut Datuk Dr. Mohamad, turut dirampas dalam serbuan berasingan di Pelabuhan Klang, Selangor ialah minuman keras dengan anggaran nilai cukai RM1.3 juta.

“Dalam serbuan pada pukul 12.30 tengah hari, Selasa lalu, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Perak Stesen Ipoh telah melakukan serbuan di Pelabuhan Klang, Selangor. 

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menemukan 48,720 minuman keras yang disyaki barang larangan kastam di dalam sebuah kontena dengan anggaran nilai cukai RM1.3 juta,” katanya.

Tambah beliau, siasatan kedua-dua kes dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.