Kastam rampas 21 kereta mewah bernilai RM12.2 juta

oleh Mohamad Hanif|
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menumpaskan cubaan menyeleweng dokumen pengimportan 21 kereta mewah bernilai RM12.2 juta dalam dua serbuan berasingan di Shah Alam pada 29 Mei lepas.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM Datuk Azimah Abd Hamid berkata rampasan terbesar di Lembah Klang untuk tahun ini itu melibatkan enam Lamborghini Huracan, Toyota Velfire (tujuh); Toyota Estima (empat); Mercedes Benz (dua); dan masing-masing sebuah BMW dan Toyota Alphard.

Menurut Azimah, kenderaan yang belum didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu disimpan di dua gudang di Shah Alam dan siasatan mendapati kereta-kereta tersebut melanggar syarat Lesen Import yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Dalam sidang media di sini hari ini, beliau berkata kesemua kenderaan itu didapati mengikrar tarikh pengilangan tidak benar sedangkan mengikut lesen ditetapkan, MITI mensyaratkan pengimportan kereta terpakai hanya dibenarkan bagi kereta berusia satu hingga lima tahun.
 


Sebagai contoh, katanya enam kereta Lamborghini terbabit diikrarkan tarikh pengilangan pada 2012 sedangkan siasatan dengan pengedar sah kenderaan itu menunjukkan tarikh pengeluarannya adalah pada 2016.

"Modus operandi pihak terbabit ialah bagi mengurangkan kadar cukai yang perlu dibayar kepada kastam kerana kereta lama kadar cukainya lebih rendah," katanya.

Berikutan itu, dua syarikat pengimportan kereta di Shah Alam yang dikenal pasti sebagai pemilik kesemua kenderaan berkenaan kini disiasat berhubung cubaan menyeleweng dokumen, menipu usia kenderaan dan mengelak cukai, katanya.

Perbuatan mengimport lesen tanpa Lesen Import yang sah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh didenda 40 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak melebihi tujuh tahun, katanya.

Azimah berkata kesemua kenderaan dan dokumen tidak sah itu dipercayai disimpan di gudang berkenaan sejak dua tahun lepas.

-- BERNAMA

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Tahun lalu, Shell mengadakan ujian makmal secara rawak terhadap sampel-sampel produk yang didakwa…
Berita Domestik
Jumlah sebenar kenaikan itu belum lagi dipastikan tetapi desas-desus mengenainya sudahpun di war-…
Berita Domestik
Perodua dikatakan akan mengekalkan harga Aruz walaupun pihak kerajaan tidak bersetuju dan percaya…