Karamjit terima tajaan kewangan RM10,000 untuk sertai TSR 2021

oleh SALINA JALIL|
Legenda sukan rali negara, Karamjit Singh menerima motivasi dan sokongan kewangan daripada DGJ Capital Sdn Bhd untuk menyertai sebuah kejohanan rali di peringkat domestik pada tahun depan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Bekas juara rali dunia itu bakal menyertai Kejohanan Terengganu Sprint Rally (TSR 2021) yang dijadualkan di Litar Permotoran Terengganu dan Litar Rali Bukit Payong pada 26 Februari ini dan tajaan RM10,000 daripada syarikat berkenaan akan digunakan sebaiknya untuk mempersiapkan jentera peribadinya, Proton Gen2 bagi perlumbaan berkenaan.

 

"Saya akan gunakan wang ini untuk membuat kereta saya, Proton Gen2. Kereta ini berada di parkir rumah dan sudah dua tahun tidak digunakan. Saya akan mempersiapkan kereta itu untuk perlumbaan rali pada bulan Februari tahun depan di Terengganu," katanya yang memerlukan kira-kira RM40,000 bagi mempersiapkan jentera itu.

 

"Saya rasa lebih sikit (perbelanjaan untuk mempersiapkan jentera Proton Gen2 miliknya). Tapi tidak mengapa, untuk permulaan (RM10,000) ini boleh digunakan untuk mempersiapkan (serba sedikit).

 

"Untuk semua sekali dalam RM40,000. Ini semua untuk membeli tayar, baikpulih kotak gear, enjin dan macam-macam lagi," katanya yang turut memerlukan bajet kira-kira RM3 juta bagi menyertai lapan siri perlumbaan di Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) bermula Mac tahun depan.

 

Juara APRC pada tahun 2001 itu sebelum ini menarik perhatian media apabila dilaporkan menjual kereta kesayangannya Proton Waja pada harga RM7,000 bagi mendapatkan modal membeli kereta baharu untuk bekerja sebagai pemandu Grab dalam usaha meneruskan kelangsungan hidup.

 

Karamjit sebelum ini pernah menyatakan keinginannya untuk meneruskan legasi pemanduannya dengan menggunakan jenama kereta kebanggaan negara Proton iaitu Iriz R5 yang diubahsuai oleh sebuah syarikat di England.

 

Ditanya mengenai perkembangan terkini, Karamjit berkata:" Belum tentu lagi tetapi tengah berbincang. Mungkin bukan Proton Iriz. Mungkin Toyota, mungkin Mazda kerana sekarang ini kita tengah berbincang dengan semua pengeluar kerana banyak kereta yang dibina untuk rali sekarang ini.

 

"Tetapi bagi saya, memang suka memandu Proton kerana saya sudah memandunya lebih 20 tahun. Bagi saya, ada nilai sentimental untuk Proton."

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif DGJ Capital Sdn Bhd, Datuk Daniel Yew berkata, pihaknya bersimpati dengan apa yang dilalui Karamjit.

 

"Saya dapat lihat yang dia berada dalam kesusahan. Jadi kami ingin membantunya tanpa mengira (bangsa) Melayu, Cina atau apapun. Kami hanya mahu membantunya," kata Daniel yang juga peminat dunia permotoran.

 

 

 

 

Laporan Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Dalam pertemuan bagi mengetahui permasalah sebenar dihadapi legenda rali negara itu, MAM…
Berita Domestik
Menurut sumber-sumber yang rapat dengan perancangan itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal…