Kebocoran tersebut dipercayai berpunca dari kapal terlanggar objek bawah air.
“Kebocoran yang mula dikesan di Bilik Jentera kapal telah merebak dengan cepat dan tidak terkawal.
“Kesemua kru berjaya diselamatkan setelah usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya. Fokus utama TLDM sekarang adalah untuk melaksanakan operasi salvaj bagi menyelamatkan kapal,” jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, TLDM akan menubuhkan lembaga siasatan khas dengan kadar segera bagi mengenal pasti punca kejadian.
“TLDM merakamkan jutaan terima kasih kepada agensi-agensi yang terlibat atas tindakan pantas memberi bantuan terhadap insiden ini iaitu Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan komuniti maritim yang berada di persekitaran.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden ini. Sila rujuk sumber rasmi TLDM untuk perkembangan terkini dan maklumat sebenar,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
“Ya, TLDM akan mengeluarkan kenyataan (mengenai KD PENDEKAR),” katanya ketika dihubungi New Straits Times.
Difahamkan, susulan kejadian itu semua anak kapal dipindahkan sebagai langkah keselamatan dan KD PENDEKAR kini ditambat di kapal dagang berhampiran.
KD PENDEKAR yang memiliki kepanjangan 43.62 meter dan lebar 7.1 meter dibina Karlskrona Varvet Shipyard di Sweden dan dilancarkan pada 11 November 1978, sebelum ditauliahkan pada 27 Julai 1979.
Pada awalnya ia diletakkan dalam Skuadron Kapal Pembinasa Laju (Misil) Kedua sebelum diserapkan ke dalam Skuadron Kapal Pembinasa Laju Pertama di bawah Flotila Ronda.