Kapal layar bawa pelancong tengok matahari terbenam ditahan

oleh SALINA JALIL|
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menahan sebuah kapal layar yang dipercayai beroperasi membawa pelancong melihat matahari terbenam tanpa dokumen sah di sini, kelmarin.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kapal layar itu ditahan semasa bersauh di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut Pulau Tuba.

 

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal layar yang membawa dua pemilik serta dua kru masing-masing berusia 46 hingga 56 tahun berserta lapan penumpang itu gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk menjalankan aktiviti rekreasi di laut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini (Isnin).

 

Jelasnya, kapal layar bersama kru dan pemiliknya ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

 

Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen yang sah.

 

Beliau turut meminta pelancong untuk berhati-hati dan memilih pengusaha kapal layar yang berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia.

 

Tegasnya, semua pengusaha kapal layar yang menjalankan aktiviti rekreasi di laut perlu mematuhi keperluan pelesenan dan insurans bagi memastikan keselamatan penumpang yang menaiki kapal layar.

 

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kesalahan undang-undang di laut boleh membuat laporan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis melalui talian 04-9662750.

 

 

– UTUSAN

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Menurutnya, muara sungai itu sememangnya menjadi laluan pelbagai jenis bot dan kapal namun…
Berita Global
Ini merupakan kapal layar mewah yang paling menawan datangnya dari Lamborghini, atau lebih tepat…
Berita Global
Rolls-Royce Boat Tail diambil namanya daripada model yang pernah wujud pada era lewat 20-an dan…