Kapal korek China ditahan di perairan Tanjung Hantu

oleh Hamimah Hamid|
SEBUAH kapal korek dari China yang melalukan kerja mengorek pasir di perairan Tanjung Hantu, Segari dekat Manjung ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen asal kapal dan pelepasan pelabuhan.

Kapal Chuan Hong 68 yang berdaftar di Fuzhou, China dan seorang kru nya tidak mempunyai nama dalam senarai kru kapal itu ditahan kira-kira jam 3.10 petang, pada jarak 14.8 batu nautika barat laut Tanjung Hantu.
CHERY Omoda 5 MREC Banner Campaign March 2025

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kapal korek tersebut telah dikesan bersauh oleh pasukan operasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

"Hasil daripada maklumat tersebut, anggota bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan operasi di perairan negeri Perak telah diatur gerak ke lokasi berkenaan bagi memeriksa kapal tersebut.

 

"Pemeriksaan mendapati, kapal korek itu dikendalikan oleh seorang nakhoda dibantu oleh 47 kru yang terdiri daripada 20 kru warga China, 26 kru warga Bangladesh dan seorang kru warga Malaysia berumur dalam lingkungan 21 hingga 68 tahun," katanya.

 

Menurut Mohamad Shukri, pemeriksaan lanjut juga menemukan 60 tong gas LPG memasak 14 kilogram tanpa dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bernilqi kira-kira RM9,000.

 

Katanya, kesemua kru dan kapal ditahan untuk siasatan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 serta Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana tiada dokumen yang sah bagi membawa barangan kawalan.

 

"Maritim Malaysia menegaskan kepada komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan diambil," katanya.

 

Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut boleh menghubungi APMM di talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.

📸 APMM