Data LSEG menunjukkan kapal itu melalui selat berkenaan dengan belayar berhampiran pantai Iran sebelum menuju ke Oman dan memasuki pelabuhan Muscat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Mac lalu berkata bahawa Iran akan membenarkan kapal Malaysia melalui selat tersebut selepas mengadakan rundingan dengan pegawai Iran.
Pihak berkuasa berkata, kapal yang dimohon Malaysia untuk mendapatkan kebenaran termasuk milik Vantris, syarikat perkapalan gergasi MISC Bhd dan syarikat tenaga negara PETRONAS.
Antara kapal lain yang berkaitan dengan Malaysia dan telah diberikan kebenaran ialah kapal tangki minyak mentah gergasi berbendera Liberia, Serifos, yang keluar dari selat itu pada 10 April.
Kapal tangki tersebut, yang membawa minyak mentah dimuatkan dari Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada awal Mac, memunggah kargonya di Pelabuhan Melaka pada 30 April.
Sebuah lagi kapal tangki gergasi, Ocean Thunder, yang membawa minyak mentah Iraq dan disewa oleh unit PETRONAS, melalui selat itu pada 5 April dan memunggah kargo satu juta tong minyak mentah Basrah Heavy di Pengerang pada 18 April.
Kapal ketiga, Mihzem, yang membawa gas asli cecair (LNG) dari Qatar dan diuruskan oleh unit MISC, melalui laluan perairan itu pada Selasa, sekali gus menjadi kargo kedua seumpamanya melintasi kawasan tersebut di bawah pengaturan membabitkan Iran dan Pakistan.
Dua lagi kapal milik MISC masih terkandas di Teluk, menurut sumber dan data perkapalan.