Kapal kargo MV Tung Sung terbalik, 9 kru hilang

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Maritim
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) berikutan insiden Kapal MV Tung Sung dilaporkan terbalik di perairan Sebuyau hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, aduan awal diterima pada jam 9.40 pagi tadi berkaitan kehilangan kapal tersebut setelah kapal tidak dapat dikesan dan dihubungi.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024

"Aset Maritim Malaysia Kapal Maritim (KM) Kota Kinabalu yang dalam rutin rondaan telah diatur gerak ke lokasi terakhir kapal tersebut dilaporkan hilang iaitu pada jarak lebih kurang 12 batu timur laut Tanjung PO.

"Pukul 1.15 petang tadi, MRSC Kuching menerima satu panggilan daripada pengurus kapal terbabit memaklumkan Kapal MV Tung Sung telah terbalik di Perairan Sebuyau pada jarak lebih kurang 4 batu nautika Barat Laut Pulau Burung," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, sejurus menerima aduan tersebut, Operasi CARILAMAT diaktifkan pada pukul 1.20 petang tadi dan telah mengaturgerakkan KM Kinabalu yang berada di sekitar lokasi terakhir yang dilaporkan hilang, bot KILAT 35 dan bantuan aset udara dari Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut digerakkan ke kawasan pencarian.

"Kesemua sembilan mangsa terdiri daripada empat warga tempatan iaitu Chieng Siew Ngiek, Wong Hua Wu, Maxwell Billy Stimba dan Stimba Anak Chuit. 

"Manakala, empat warga Myanmar adalah That Min July, Ye Lin Htet, Hla Win Tun, Tun Lin Oo serta seorang warga Indonesia bernama Lido Ali Purwanto dilaporkan masih hilang. Kesemua mereka berumur 20 hingga 52 tahun," jelasnya.

Tambahnya, kapal tersebut dikatakan muatan batu kerikil dari Kuching ke Sarikei.

Berikutan itu, katanya Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) akan ditubuhkan di Jeti Penumpang, Sebuyau.

"Insiden tersebut turut disalurkan kepada agensi sahabat yang terlibat dan komuniti maritim setempat.

"Keluasan Sektor pencarian pada hari ini merangkumi seluas 210.48 batu nautika persegi di sekitar perairan Pulau Burung," ujarnya.

Sehubungan itu, tegasnya Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544/ 432016 atau MERS 999.

Menurutnya lagi, Operasi Carilamat ditangguhkan pada jam 7.00 petang tadi dan akan diteruskan semula esok pada jam 8.00 pagi.

 

 

Bernama