Kapal kargo Malaysia hilang di perairan Indonesia

oleh Mohamad Hanif|
Sebuah kapal kargo MV Dai Cat 06 yang membawa muatan batang paip bernilai RM726,205 dan lima orang kru dilaporkan hilang di perairan Indonesia semalam, menurut laporan Bernama.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024
CHERY Omoda 5 NCAP MREC Banner Campaign September 2024

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata pihaknya menerusi Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat berhubung kejadian tersebut dari MRSC Langkawi pada 5.13 petang.

Beliau berkata maklumat diterima susulan satu laporan polis dibuat oleh ejen kapal terbabit pada 12.11 tengah hari, semalam.

Nurul Hizam berkata ejen tersebut mendakwa kapal kargo yang dikendalikan tiga kru warga tempatan dan dua kru warga Indonesia, berusia 20 hingga 57 tahun itu, telah keluar dari jeti Kampung Aceh, Perak pada 23 Dis lepas dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak, pada 31 Dis.

"Lokasi terakhir kapal ini dikesan melalui sistem Sistem Pengenalan Automatik (AIS) adalah pada 1 Jan lepas di perairan Indonesia, 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor.

"Namun, satu isyarat kecemasan Emergency Position Indicator Radio Beacon (EPIRB) telah dikesan pada 10.42 malam, dipercayai daripada kapal kargo itu di kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat, Indonesia," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Johor, di sini hari ini.

Beliau menambah isyarat kecemasan tersebut dikesan oleh Pusat Kawalan Misi Malaysia (MYMCC) dan Pusat Kawalan Operasi Pelabuhan (POCC) Singapura.

Menurutnya, kapal kargo itu turut membawa muatan 527 batang paip bernilai RM726,205.

"Pihak MRSC Johor Bahru turut menghantar hebahan menerusi NAVTEX bagi memohon bantuan komuniti maritim sekiranya mempunyai maklumat mengenai kehilangan kapal ini.

"Komuniti maritim dimohon untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9401 sekiranya mempunyai maklumat," katanya.

Sumber: Bernama

Berita Berkenaan

Berita Global
Beberapa anak kapal telah cedera, melecur, patah tulang, mengalami masalah pernafasan, dan seorang…
Berita Domestik
"Aset Maritim Malaysia Kapal Maritim (KM) Kota Kinabalu yang dalam rutin rondaan telah diatur gerak…
Berita Domestik
  Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, penahanan itu adalah hasil…