KANAK-KANAK PEREMPUAN LALUI DETIK CEMAS KERETA IBU DILARIKAN PENAGIH DADAH

oleh Penyumbang Rencana 2|
SEORANG kanak-kanak perempuan yang ditinggalkan di dalam kereta berdepan detik cemas apabila seorang lelaki melarikan kereta milik ibunya dalam kejadian di Seri Manjung, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata, dalam kejadian 11.30 pagi itu, mangsa berusia 12 tahun ditinggalkan sendirian dalam kereta jenis Perodua Bezza dengan enjin dan pendingin hawa masih hidup dengan tidak berkunci, sementara ibunya keluar membeli barang di kedai haiwan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

ACP Nor Omar berkata, wanita berusia 36 tahun itu menyedari kejadian berkenaan apabila terlihat suspek membawa lari kenderaan bersama anaknya.

“Sejurus keluar dari kedai mangsa mendapati kereta miliknya tiada di tempat letak kereta dan terlihat seorang lelaki tidak dikenali membawa lari keretanya berserta anak perempuannya yang masih berada di dalam kereta tersebut.

“Mangsa cuba untuk menghalang keretanya namun suspek telah memecut laju kereta itu dan melarikan diri. Dengan bantuan orang awam yang berada di lokasi kejadian, suspek telah ditangkap dan kereta serta anak mangsa dapat diselamatkan,” katanya.
 
Menurut ACP Nor Omar berkata, polis membuat tangkapan ke atas suspek berusia 24 tahun itu selepas menerima laporan pada jam 12 tengah hari.

Ujar beliau, hasil saringan awal ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Semasa kejadian, kereta berkenaan tidak berkunci. Bagaimanapun, kita masih menyiasat motif sebenar dan suspek masih tidak dapat disoal siasat kerana masih di bawah pengaruh dadah,” katanya.

Beliau berkata suspek kini ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Seri Manjung untuk permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

 

Artikel oleh Hamimah Hamid dan Mohd UmzarulFaiz Umar