KANAK-KANAK LEMAS KERETA TERJUNAM SUNGAI

oleh Hamimah Hamid|
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan lemas selepas kereta yang dinaiki bersama kedua ibu bapanya terjunam ke dalam sungai di Jalan Sungai Korok, Jitra petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, bapa mangsa dan ibunya mengandung tujuh bulan bagaimanapun selamat.
AION MREC Banner Campaign May 2024

Ujar beliau, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden pada jam 2.39 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Jitra dikejarkan ke lokasi. 

“Sebaik tiba komander operasi melaporkan terdapat sebuah kereta di dalam sungai dan dua mangsa berada di tebing selepas berjaya keluar dari kereta terbabit,” katanya. 

Sayani berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan menemukan mangsa berada di dalam kereta di tempat duduk penumpang di bahagian belakang.

Katanya, sebaik berjaya di bawa naik mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.