Beliau berkata keadaan menjadi kelam-kabut apabila mangsa yang juga seorang guru tadika, menyedari keretanya telah tiada dengan kanak-kanak perempuan itu masih berada dalam kereta berkenaan setelah selesai menghantar anak keduanya.
"Polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian ini pada 7.06 pagi. Susulan itu usaha mengesan kereta mangsa giat dijalankan dan dengan bantuan orang awam, berjaya dijumpai semula pada 7.45 pagi.
"Anak mangsa juga dijumpai semula dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan bersama kereta yang dicuri berdekatan kawasan perumahan jenis pangsapuri yang jaraknya lebih kurang dua kilometer dari lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mohd Iqbal berkata siasatan awal mendapati suspek seorang warga tempatan dipercayai berniat untuk mencuri kenderaan terbabit namun terkejut selepas mendengar tangisan anak mangsa lalu memberhentikan kereta tersebut sebelum melarikan diri.
"Suspek juga bertindak mengambil beg tangan milik mangsa yang mengandungi kad bank, dokumen pengenalan diri serta dua unit telefon bimbit bernilai lebih kurang RM2000," katanya.
Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Insp. Khamsia Hung Mei Shuang di talian 016-8119560.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.