Kajian BrandZ: Toyota masih kekal jenama automotif nombor satu dunia!

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Toyota masih kekal dengan kedudukan sebagai jenama automotif nombor satu di dunia apabila tersenarai di dalam carta 100 buah jenama global paling bernilai 2019 yang dijalankan oleh BrandZ. 

Sehingga kini, hanya tiga jenama automotif sahaja yang berjaya menduduki tangga 100 buah jenama paling bernilai di dunia iaitu Toyota, Mercedes-Benz dan BMW. 

Daripada 14 tahun sepanjang kajian BrandZ tersebut dijalankan, Toyota kekal memegang tangga pertama selama 12 tahun, manakala selebihnya di tangga kedua pada tahun 2010 dan 2012.

Sementara itu, Ford dan Honda pula tersingkir daripada senarai 100 jenama teratas walaupun kedua-duanya pernah tersenarai di dalam kajian yang sama tahun lalu. 

Volkswagen pula merupakan satu-satunya jenama di dalam senarai 10 jenama automotif teratas yang berjaya memperbaiki nilai tersendiri setelah bergelumang dengan skandal dieselgate.
 


Perubahan ini juga turut dibantu dengan usaha Volkswagen mengambil peluang menceburkan diri di dalam bidang tenaga alternatif, seperti pengenalan model kereta elektrik ID.  

Manakala Porsche pula merupakan 'pendatang baharu' di dalam senarai 10 jenama teratas menggantikan Maruti Suzuki di tangga yang ke-10. 

Berikut merupakan senarai 10 jenama automotif paling bernilai (dalam unit billion) untuk tahun 2019 berdasarkan kajian yang dijalankan oleh BrandZ, kedudukan dalam carta dunia serta perubahan kedudukan daripada kajian tahun lalu. 

1. Toyota $29.15 (41) -3

2. Mercedes $23.36 (54) -9

3. BMW $23.33 (55) -9

4. Honda $11.75 (*) -7

5. Ford $11.21 (*) -12

6. Nissan $10.55 (*) -8

7. Tesla $9.29 (*) -1

8. Audi $8.56 (*) -11

9. Volkswagen $6.71 (*) +12

10. Porsche $5.82 (*) --

(*) - tidak tersenarai di dalam carta 100 jenama paling bernilai dunia

Sumber: Automotive News