Kabinet akan tentukan tempoh pembekuan kenaikan tol

oleh Penyumbang Rencana|
Kabinet yang akan memutuskan tempoh pembekuan kenaikan kadar tol akan datang.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ia bukan ditentukan oleh kementeriannya.

Katanya beliau tidak dapat menjawab persoalan mengenai berapa lama kerajaan mampu meneruskan pembekuan kenaikan tol kerana ia tertakluk kepada keputusan Kabinet.

"Berapa lama kerajaan boleh teruskan, itu bukan soalan yang saya boleh jawab kerana perkara itu perlu dibawa ke Kabinet dan Kabinet yang akan tentukan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Construction Plan 2026-2030 (CAP30) di Kuala Lumpur pada Selasa.

Pada Disember tahun lalu, mesyuarat Kabinet memutuskan tiada kenaikan tol bagi 10 konsesi lebuh raya untuk 2026, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, berkata, walaupun perkara itu akan mendatangkan implikasi kewangan kepada kerajaan, jumlah itu akan ditanggung kerajaan.

Mengulas lanjut, Nanta berkata, tujuan utama kerajaan menangguhkan semakan kenaikan kadar tol adalah bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan peningkatan bayaran pada masa ini.

Katanya, berdasarkan perjanjian konsesi sedia ada, kadar tol memang layak untuk disemak dan dinaikkan mengikut jadual yang dipersetujui.

"Jika ikut perjanjian, kadar tol ini memang sudah sampai masa untuk disemak, bermakna kadar tol akan meningkat.

"Tetapi kerajaan mengambil kira keadaan rakyat yang masih berdepan kos sara hidup dan pelbagai beban lain," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan penangguhan itu bukan bermaksud kerajaan tidak menanggung kos.

"Bukan percuma tetapi kerajaan yang tanggung. Pengguna harus tahulah, bila ditangguh kenaikan harga tol, maka kerajaanlah yang membayar," katanya.

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata, pemberian diskaun itu selaras agenda Kerajaan MADANI bagi menjaga perpaduan dan…
Berita Domestik
Katanya, beliau sendiri telah turun padang ke lokasi terlibat bagi meninjau keadaan sebenar dan…
Berita Domestik
Justeru katanya, pada ada 30 Januari lalu pihak KKR sudah memberikan kelulusan kepada Cawangan…