Jurutera enjin lagenda Porsche, Hans Mezger meninggal dunia pada usia 90 tahun

oleh Mohamad Hanif|
Jurutera lagenda Porsche, Hans Mezger dilaporkan meninggal dunia pada usianya mencecah 90 tahun, 10 Jun yang lalu.

Hans merupakan salah seorang insan yang bertanggungjawab terhadap program Formula One Porsche yang pertama pada tahun 1960, dan tidak lama selepas itu, beliau membangunkan enjin 901 flat-six sejukan udara yang menjadi nadi utama pada model generasi pertama 911.

Enjin inilah yang menjadi asas kepada kesemua trenkuasa model 911 sehinggalah model enjin sejukan cecair 996 muncul pada tahun 1997.

Selain daripada itu, Hans Mezger juga turut bertanggungjawab mereka enjin flat-12 untuk model 917 dan Porsche berjaya mencapai kemenangan secara keseluruhan buat kali pertama di Le Mans.

Mezger juga merupakan peminat tegar turbo, di mana beliau mula memasang pengecas turbo pada enjin flat-12 917 di mana jentera lumba Can-Am 917/10 dan 917/30 mampu menghamburkan kuasa melebihi 1,000 hp!

 


Hasil pengetahuan tersebut dicurahkan kepada model 911 dan hasilnya diperlihatkan pada model pertama Porsche 911 2.1 RSR 1974 yang mampu menghasilkan 500 kuasa kuda.

Model pertama itu merupakan pendorong kepada pengenalan model jalanan 911 Turbo di mana enjin flat-six Type-935 turbo telah digunakan pada model-model seperti 934, 935, 936, 956 dan juga 962.

Jadi, bila disebut istilah enjin Mezger, para peminat Porsche biasanya merujuk kepada enjin flat-six sejukan cecair yang dibangunkan untuk model 911 GT3, 911 GT2 dan 911 Turbo generasi 996 dan juga 997, di mana model terakhir yang menggunakan enjin ini adalah Porsche 911 997 GT3 RS 4.0.

Namun, disebalik senarai enjin yang disebutkan tadi, antara yang paling membuatkan Mezger bangga adalah enjin bentangan V6 1.5 liter turbo yang dibangunkan untuk pasukan Formula One McLaren pada tahun 1980-an.

Ia ternyata mendatangkan kejayaan dengan kemenangan sebanyak 25 perlumbaan, dua anugerah kategori pengeluar dan tiga anugerah kategori pemandu (Nicki Lauda pada tahun 1984 dan Alain Prost untuk tahun 1985 & 1986).

 


Berehatlah dengan aman, Hans Mezger.

Add new comment