Usah terkejut kerana crossover dengan rekaan unik iaitu Juke berada di belakang Qashqai. Dari sini boleh dlilhat citarasa pengguna di Eropah.
Secara keseluruhan Nissan mencatatkan prestasi jualan kukuh di Eropah bagi Tahun Fiskal 2024 dipacu oleh kejayaan model crossover elektrikifikasi.
Bagi tahun fiskal yang berakhir pada 31 Mac 2025, Nissan merekodkan jumlah jualan keseluruhan sebanyak 378,900 unit.
Qashqai terlaris dengan jualan sebanyak 166,800 unit. Juke menyusul dengan 104,000 unit dan tertinggi sejak dilancarkan pada tahun 2010. Makin lama makin hangat!
Di Amerika Syarikat Nissan hanya menawarkan Leaf dan Ariya sebagai wakil segmen elektrifikasi dan lebih meriah di Eropah.
Strategi ini ternyata betul dengan 45 peratus daripada jualan Nissan di Eropah adalah model elektrifikasi.
Trend ini dijangka terus meningkat dengan pelancaran dua model elektrik penuh serba baharu tahun ini iaitu Micra dan Leaf.
Peningkatan turut dijangka dibantu oleh rangkaian kuasa e-Power generasi terbaru pada Qashqai.
Model Nissan Paling Laris FY2024:
- Qashqai – 166,800 unit
- Juke – 104,000 unit
- X-Trail – 40,400 unit
- Ariya – 20,600 unit
- Primastar – 14,700 unit
Tahun 2025 bakal menyaksikan pelancaran Micra serba baharu, yang direka di Pusat Rekaan Nissan di London.
Model kompak ini akan hadir dalam dua pilihan bateri iaitu 40 kilowatt-jam (kWj) dan 52kWh dengan jarak pemanduan melebihi 400km.
Leaf yang merupakan perintis kenderaan elektrik massa juga bakal diganti baharu dan akan dihasilkan di kilang canggih Nissan di Sunderland, UK.
Teknologi e-Power yang pertama kali diperkenalkan pada 2022, turut akan menerima penambahbaikan penting tahun ini.
Penambahbaikan melibatkan aspek emisi, kecekapan dan operasi untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih hampir kepada EV.
Satu lagi perkembangan menarik ialah Nissan sedang membangunkan generasi ketiga Juke sebagai sebuah EV.
Model baharu ini berasaskan konsep Hyper Punk yang diperkenalkan pada Japan Mobility Show 2023 dan dijadual untuk dilancarkan pada Tahun Fiskal 2026.
Penawaran EV juga akan bertambah satu lagi model bermula 2026 dan hasil kerjasama dengan Renault Group menerusi Ampere.
Model segmen A ini berasaskan Twingo dan direka oleh Nissan.
Dilengkapi dengan pelbagai ciri inovatif, produk baharu Nissan akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi syarikat.
Pada masa sama, ia juga akan mengukuhkan kesetiaan pelanggan dan menarik pembeli baharu.
Langkah ini dijangka meningkatkan keuntungan syarikat serta memacu pertumbuhan yang mampan untuk masa hadapan.
Penulis: Muhammad Md Tajudin / Kredit Gambar: Nissan