Jualan Perodua melonjak 29%, hampir 58,000 unit untuk suku tahun pertama, 4,345 Ativa dihantar dalam masa kurang 30 hari

oleh SALINA JALIL|
Perodua menganggarkan jualan sebanyak 57,911 kenderaan dalam suku pertama 2021 (1Q21) – kenaikan 29 peratus berbanding 44,977 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lalu – berikutan peningkatan pengeluaran untuk memenuhi permintaan bagi semua modelnya, terutama sekali Perodua Ativa yang baru dilancarkan.


“Bulan Mac menyaksikan peningkatan jumlah jualan kami kepada 24,433 unit, didorong permintaan yang tinggi, terutamanya bagi Ativa, yang telah menerima sebanyak 14,574 tempahan sejak dibuka untuk pesanan pada 19hb Februari lalu,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Pendaftaran Perodua melonjak 47.3% kepada 24,433 unit pada Mac 2021 berbanding 16,583 unit pada Februari 2021.

 

Dato’ Zainal menambah bahawa daripada 14,574 tempahan Ativa yang diperoleh setakat ini, 4,345 unit telah dihantar sejak pelancarannya pada 3hb Mac lalu, dan seperti yang dijangkakan, 67% daripada permintaan setakat ini adalah untuk varian AV.

 

“Ini menjadikan Perodua Ativa SUV kompak terlaris di negara ini pada bulan Mac. Kami amat bersyukur, Perodua Ativa telah mencapai permulaan yang begitu kukuh dan kami telah berjaya mengatasi sasaran penghantaran bulanan sebanyak 3,000 unit pada bulan pertama.

 

“Kami berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan dan kepercayaan mereka. Kami akan terus komited untuk memenuhi setiap pesanan tepat pada masanya,” kata Dato’ Zainal.

 

Dari segi pengeluaran, Dato’ Zainal berkata bahawa Perodua telah menghasilkan 60,383 kenderaan pada 1Q21 – kenaikan 23 peratus berbanding 49,280 unit yang dihasilkan pada 1Q20.

 

“Buat masa ini, cabaran terbesar kami adalah kekurangan cip semikonduktor, yang memberi kesan yang berbeza-beza kepada setiap pengeluar kenderaan pada skala global.

 

“Kami sedang bekerjasama dengan rakan niaga kami untuk mencari bekalan alternatif dan pada masa yang sama memantau keadaan setiap hari untuk memastikan operasi pengeluaran kami berterusan,” katanya.

 

Dato’ Zainal menambah bahawa walaupun berdepan dengan isu semikonduktor, Perodua masih mampu mencapai sasaran jualan 2021 sebanyak 240,000 unit.

 

Sasaran jualan 2021 Perodua mewakili peningkatan 9% daripada 220,163 unit yang dijual pada 2020, dan dijangka membawa kepada perbelanjaan rekod sebanyak RM6.5 bilion pada tahun ini untuk membeli komponen tempatan.

 

Perodua juga mensasarkan pengeluaran sebanyak 272,000 unit (+23 peratus daripada 220,968 unit pada 2020) dan 2.4 juta pengambilan servis (+20 peratus daripada 2 juta pengambilan servis pada 2020) bagi tahun ini.

Berita Berkenaan

Hezeri Samsuri
Ini sudah mula dirasakan oleh Eropah di mana Kesatuan Eropah (EU) mula mempersoalkan harga-harga…
Berita Domestik
Bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan berkata, kereta PROTON dan PERODUA menjadi pilihan…
Berita Domestik
Menurut beliau, Perodua telah membangunkan sebuah prototaip berkuasa elektrik hasil kerjasama…