Jualan Mazda dan Xpeng Kukuh, Untung Bermaz Auto Naik 71%

oleh Qalif Latif|
Bermaz Auto Berhad (BAuto), pengedar rasmi Mazda dan Xpeng di Malaysia, mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai kepada RM59.6 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.

Angka itu meningkat 71% berbanding RM34.8 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu, didorong oleh prestasi jualan kenderaan yang lebih kukuh.

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu turut melaporkan hasil (revenue) sebanyak RM683.2 juta, meningkat 13.5% berbanding RM602.1 juta yang dicatatkan pada Q3 FY2025.

Mazda3 dan Xpeng jadi penyumbang utama

Menurut Bermaz, peningkatan hasil tersebut dipacu oleh jualan lebih kukuh daripada jenama Mazda dan Xpeng dalam operasi domestik.

Mazda 3

Secara khusus, model Mazda3 1.5L High Plus yang dilancarkan di Malaysia pada November 2025 dengan harga bermula RM118,900.00 dilaporkan menerima sambutan menggalakkan daripada pembeli tempatan.

Model tersebut menjadi antara penyumbang utama kepada peningkatan jualan Mazda dalam tempoh suku tahun tersebut.

Portfolio EV Xpeng di Malaysia

Bagi segmen kenderaan elektrik (EV), Bermaz kini menawarkan dua model Xpeng di pasaran Malaysia.

Model tersebut ialah SUV elektrik Xpeng G6 yang dijual pada harga RM179,708 dan MPV elektrik Xpeng X9 yang bermula dari RM280,708.
Xpeng

Kehadiran model-model ini dilihat membantu memperkukuh kedudukan Bermaz dalam segmen EV tempatan yang semakin berkembang.

Dividen interim diumumkan

Untuk suku tersebut, Bermaz Auto turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 1.75 sen sesaham yang akan dibayar pada 7 Mei 2026.

Ini menjadikan jumlah dividen yang diumumkan bagi FY2026 setakat ini sebanyak 3.75 sen sesaham.

Prestasi bagi sembilan bulan FY2026

Bagi tempoh sembilan bulan pertama FY2026, hasil kumpulan meningkat 17.4% kepada RM1.73 bilion.

Namun begitu, keuntungan sebelum cukai bagi tempoh tersebut menurun 43.6% kepada RM106.9 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Penurunan ini berpunca daripada jualan lebih rendah bagi operasi Mazda dan Kia dalam separuh pertama tahun, selain peningkatan bahagian kerugian daripada syarikat bersekutu. Keadaan ini sebahagiannya diimbangi oleh prestasi jualan lebih kukuh daripada Xpeng.

Prospek pasaran

Melangkah ke hadapan, Bermaz kekal optimistik terhadap prestasi bagi FY2026, disokong oleh penerimaan positif terhadap model baharu dan model facelift yang diperkenalkan.

Namun begitu, syarikat itu turut memberi amaran bahawa tekanan inflasi, ketidaktentuan geopolitik, pertumbuhan ekonomi global yang perlahan serta persaingan sengit daripada jenama EV China boleh memberi kesan kepada pasaran automotif tempatan.

Saham Bermaz Auto Bhd ditutup 2.99% lebih tinggi pada 86 sen, sekali gus memberikan syarikat itu nilai permodalan pasaran sekitar RM1 bilion.

Sumber: Wapcar


 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Mazda CX-5 facelift ini telah pun dinampakkan di Malaysia pada November lalu, dan menurut beberapa…
Hezeri Samsuri
Abarth Alfa Romeo Chrysler Citroën Dodge DS Automobiles Fiat Jeep Lancia Maserati Opel…
Berita Domestik
Acara itu berjaya meraih dana hampir RM800,000 menerusi peserta-peserta, penderma-penderma dan juga…