Jualan kereta dijangka cecah 630,000 unit tahun ini, penambahan 30,000 unit dari sasaran

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyemak naik unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) kenderaan kepada 630,000 unit tahun ini, 30,000 unit lebih tinggi berbanding sasaran awal 600,000 unit yang ditetapkan awal tahun ini.


Presidennya, Datuk Aishah Ahmad, berkata semakan naik TIV tahun ini dilakukan bersandarkan kepada jangkaan pemulihan ekonomi Malaysia yang berterusan selepas merekodkan prestasi memberangsangkan pada suku pertama 2022.

 

Beliau berkata, sokongan dasar kerajaan yang konsisten, khususnya menerusi inisiatif di bawah Bajet 2022 serta limpahan daripada Bajet 2021, pakej rangsangan dan bantuan sebelum ini akan menyokong ekonomi negara menjadi bertambah baik pada separuh kedua tahun ini.

 

Katanya, dengan peralihan lancar ke fasa endemik serta pembukaan semula sempadan antarabangsa, banyak sektor menunjukkan tanda pertumbuhan dalam aktiviti perniagaan, walaupun belum mencapai tahap sebelum pandemik.

 

"Pelbagai pakej rangsangan ekonomi untuk mengurangkan kesan buruk COVID-19 dan memulihkan aktiviti ekonomi sangat membantu.

 

"Bagi industri automotif, walaupun tempoh cuti cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk pembeli kereta menikmati pengecualian yang sudah berakhir, ahli MAA berbesar hati kerana kerajaan berkuasa telah melanjutkan tempoh manfaat pengecualian dengan pendaftaran kenderaan sebelum 31 Mac 2023 apabila menempah sehingga 30 Jun lalu.

 

"Langkah ini sememangnya positif kerana ia akan membantu industri automotif memenuhi tempahan yang tertunggak dan pada masa yang sama membolehkan rakyat menikmati kereta harga yang lebih rendah," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman prestasi pasaran automotif bagi separuh pertama 2022 secara maya, hari ini.

 

gambar hiasan

 

Daripada jumlah unjuran baharu MAA tahun ini, kenderaan penumpang dijangka menyumbang 567,000 unit, manakala kenderaan komersial pula 63,000 unit.

 

Sasaran TIV 2022 iaitu 630,000 unit adalah lebih tinggi berbanding 508,911 unit yang didaftarkan pada 2021.

 

Mengulas lanjut, Aishah berkata, unjuran angka TIV lebih baik tahun ini juga akan dipacu oleh pengenalan model baharu dan kenderaan elektrik penuh yang ditawarkan pada harga yang berpatutan dan kompetitif yang mendorong minat belian pelanggan.

 

Bagaimanapun, katanya, insiden yang timbul daripada ketegangan geopolitik, kenaikan harga minyak, kebimbangan inflasi, kenaikan harga makanan, kenaikan kos logistik dan penghantaran serta gangguan rantaian bekalan mungkin menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi negara dan seterusnya permintaan pengguna terhadap kenderaan baharu.

 

"Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 6 Julai lalu untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus mungkin menjejaskan keyakinan pengguna.

 

"Perniagaan juga mungkin menangguhkan pelaburan disebabkan keadaan yang tidak menentu ketika ini di peringkat global, termasuk senario politik tanah air di mana ramai penganalisis menjangkakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan berlangsung tahun ini.

 

"Masalah kekurangan komponen dan cip yang berterusan juga boleh menjejaskan pengeluaran kenderaan bermotor sepanjang tahun," katanya.

 

Mengenai prestasi TIV setakat separuh pertama 2022, Aishah berkata, industri automotif negara menjual 331,386 unit bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, melonjak 33 peratus berbanding 249,178 unit yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

 

"Kenderaan penumpang menyumbang 293,540 unit, manakala baki 37,846 unit lagi disumbangkan oleh kenderaan komersial," katanya.

 

Beliau berkata, TIV pada Mac adalah tertinggi dalam sejarah automotif tempatan iaitu 73,244 unit, disokong langkah ahli MAA untuk menyempurnakan penghantaran bagi syarikat dengan tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022.

 

"Bagi jualan Jun pula, susulan langkah kerajaan tidak melanjutkan insentif pengecualian cukai turut melonjakkan jualan melepasi 60,000 unit. Dengan angka jualan 63,366 unit yang dicatatkan pada Jun, ia menjadi jualan bulanan kedua tertinggi yang dicatatkan pada enam bulan pertama 2022.

 

"Jualan pada Jun mungkin lebih tinggi jika tiada isu kekurangan cip dan komponen yang telah menjejaskan beberapa pengeluar," katanya.

 

Dari aspek pengeluaran pula, Aishah berkata, bagi tempoh Januari hingga Jun 2022, sejumlah 317,933 unit kenderaan dihasilkan, 31.8 peratus lebih tinggi berbanding 241,288 unit yang dikeluarkan tempoh sama tahun lalu.

 

"Jumlah pengeluaran lebih tinggi pada separuh pertama 2022 adalah sejajar dengan lonjakan permintaan untuk kenderaan baharu," katanya.

 

 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  "Kami memohon lanjutan pengecualian cukai import dan eksais sepenuhnya bagi unit siap dibina (…
Berita Domestik
  Sementara itu, jualan kenderaan komersial meningkat kepada 6,845 unit daripada 2,448 unit.  …
Berita Domestik
  Bagi tujuh bulan pertama tahun ini, jualan turut tinggi kepada 380,595 unit berbanding 256,677…