Jualan kenderaan - kelembapan Januari 2021 bukan petanda buruk

oleh HEZERI SAMSURI|
Jualan kenderaan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) untuk bulan Januari 2021 yang menunjukkan penurunan sebanyak 52 peratus (jualan bulan ke bulan) atau 24 peratus (jualan tahun ke tahun) bukanlah satu petanda bahawa industri automotif bakal tersungkur untuk tahun 2021.

Prestasi jualan kenderaan keseluruhan untuk tahun ini saya kira mungkin akan lebih baik dari tahun 2020 kerana isu pandemik yang menyebabkan ramai sukar untuk pergi melihat sendiri kenderaan-kenderaan pilihan di pusat pameran.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Jualan bulan Februari 2021 juga saya kira tidak akan mencatatkan angka yang menarik kerana tempoh bulan yang pendek dan juga cuti perayaan CNY.

Walaupun pembeli kini sudah boleh melihat kenderaan secara maya melalui aplikasi telefon pintar atau dari laman web syarikat automotif atau media, pembelian kenderaan sering menjadi pinjaman kedua terbesar untuk kebanyakan individu atau keluarga.

 

 

Saya yakin mereka kalau boleh mahu melihat dahulu kenderaan itu sebelum membelinya. Malah saya sendiri secara peribadi mengesyorkan bakal pembeli pergi melihat dan memandu uji setiap kenderaan yang ada dalam genre pilihan, serta bandingkan diskaun dan tawaran yang diberikan.

Kemudahan seperti jurujual yang boleh datang ke rumah bakal pelanggan untuk mengadakan sesi pandu uji juga memudahkan ramai bagi melihat sendiri produk-produk terkini sebelum dibebankan dengan pinjaman selama lima ke sembilan tahun itu.

Kehadiran model-model "entry level" yang menarik juga akan meningkatkan kadar jualan kenderaan negara. Antaranya ialah Nissan Almera, Proton Geely X50, Honda City Hybrid dan juga SUV baharu Perodua yang bakal dilancarkan kelak.

Ini menjadikan segmen kenderaan di bawah paras RM100,000 lebih aktif dan ini ialah pasaran terkuat untuk Malaysia. Insentif bebas cukai untuk kenderaan CKD sehingga 30 Jun akan mendorong lebih banyak jualan pada suku pertama dan kedua tahun 2021.

 

 

 

Perodua juga mempunyai puluhan ribu tempahan yang akan dilangsaikan tahun ini. Tahun 2020 melihat Perodua terus gagah dengan jualan sebanyak 220,154 unit, lebih tinggi dari sasaran asal mereka iaitu 210,000 unit.

Masalah teknikal Proton yang mengganggu proses pendaftaran kenderaan baharu dan pesanan komponen juga dengar khabar sudah bertemu jalan penyelesaian, dan ini membolehkan Geely meningkatkan jumlah pengeluaran untuk unit X50 ke tahap maksimum.

Untuk pasaran di antara RM100k ke RM150k, pasaran bakal digegarkan dengan beberapa model baharu dari Toyota.

UMW Toyota dengarnya sudah jelak dikecam akibat gagal memberikan pakej harga yang menarik berbanding dengan pesaing-pesaingnya. 

Kilang termodern Toyota di Bukit Raja kini bakal "hidup" dengan model-model terbaharu, termasuk Toyota Corolla Cross dan juga Toyota CH-R Hybrid.

 

 

Peningkatan dari segi produk juga sudah mula kelihatan dari kandang Toyota. Hilux baharu contohnya, sudah mampu memberikan pengendalian yang lebih baik dari pesaing-pesaing dari tanahairnya sendiri.

Peugeot pula bakal dilahirkan semula dengan nafas baharu. Jenama singa Perancis itu kini dijaga oleh Berjaya Auto Alliance dan ini bakal menjadikan ia lebih berdaya saing.

Untuk segmen mewah, fokus lebih kepada dua gergasi Jerman - BMW dan Mercedes Benz.

BMW akhirnya berjaya merampas takhta jualan segmen itu dengan pegangan pasaran sebanyak 52 peratus bagi tahun 2020.

Pastinya BMW akan bekerja keras untuk memastikan ia terus kekal juara. BMW juga kini menurunkan harga kenderaan mereka (walaupun tempoh waranti juga turun kepada hanya dua tahun dan waranti tempoh lebih panjang menjadi pilihan berbayar).

 

 

Saya syak BMW akan terus menggunakan senjata utama mereka - BMW Group Financial Services di mana tahun lalu melihat ia memberikan pakej pinjaman kepada 42 peratus jumlah jualan BMW, 45 peratus untuk jenama Mini mereka dan 60 peratus untuk unit BMW Motorrad.

Cuma saya terkilan sedikit kerana segmen motosikal berkuasa tinggi tidak diberikan insentif cukai seperti yang diterima oleh kenderaan-kenderaan mewah, CKD mahupun CBU.

Segmen motosikal besar (atas 250cc) dikatakan merudum sejak hujung tahun 2020 dan terus merudum sekarang. Malaysia, suatu ketika dahulu, adalah syurga superbike Asean di mana ia mencatatkan penjualan superbike tertinggi.

Mungkin ini ada kena mengena dengan tema "Pelopor Industri ASEAN" di mana Malaysia sering menjadi negara yang pertama dalam pelbagai segi, dan kemudian hanyut dipotong oleh jiran-jiran tetangga kita.

Tidak mustahil untuk Malaysia bangkit semula, cuma yang perlu ialah produk-produk yang berdaya saing di dalam kabinet sedia ada.

Wallahuallam.

 

Berita Berkenaan

Hezeri Samsuri
Ini sudah mula dirasakan oleh Eropah di mana Kesatuan Eropah (EU) mula mempersoalkan harga-harga…
Berita Domestik
Bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan berkata, kereta PROTON dan PERODUA menjadi pilihan…
Berita Domestik
Menurut beliau, Perodua telah membangunkan sebuah prototaip berkuasa elektrik hasil kerjasama…