Jualan kenderaan bulan Mei melonjak kepada 68,665 unit

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Jumlah jualan kenderaan di Malaysia melonjak 18 peratus kepada 68,665 unit pada Mei 2024 berbanding 57,991 unit yang dicatatkan pada April 2024, demikian menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Mengikut perbandingan tahunan, jumlah keseluruhan industri (TIV) pada bulan lalu meningkat sembilan peratus berbanding Mei 2023 yang mencatatkan 63,158 unit.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024

Persatuan itu berkata, jualan yang dicatatkan pada Mei 2024 itu berikutan bulan bekerja lebih lama pada Mei 2024 dan prestasi mantap oleh pengeluar tempatan.

"TIV dari awal tahun hingga Mei 2024 adalah lapan peratus lebih tinggi kepada 328,901 unit berbanding 303,575 tempoh sama 2023," kata MAA dalam satu kenyataan.

Pada Mei 2024, kenderaan penumpang mencatatkan jualan sebanyak 62,862 unit, meningkat 11 peratus berbanding 56,448 unit bulan sama pada 2023.

Jualan kenderaan komersial bagaimanapun merosot 14 peratus kepada 5,803 unit pada Mei 2024 berbanding 6,710 unit bulan sama 2023.

Dari segi pengeluaran kenderaan, perangkaan terkini MAA itu menunjukkan 74,174 unit kenderaan dikeluarkan pada Mei 2024, meningkat 14 peratus berbanding 64,930 unit pada bulan sama tahun lalu.

Pada bulan itu, pengeluaran kenderaan penumpang adalah sebanyak 70,132 unit, 16 peratus lebih tinggi berbanding 60,391 unit pada bulan sama tahun lalu.

Sementara itu, pengeluaran kenderaan komersial pula merosot 11 peratus kepada 4,042 unit pada Mei 2024 berbanding 4,539 unit pada bulan sama 2023.

Pengeluaran kenderaan dari awal tahun hingga Mei 2024 adalah sebanyak 341,500 unit, meningkat 12 peratus berbanding 304,484 unit dalam tempoh lima bulan 2023.

Mengenai tinjauan bagi Jun 2024, MAA berkata, jualan pada Jun tahun ini dijangka kekal pada paras yang dicatatkan pada Mei 2024.

 

Astro Awani

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Jualan kenderaan bagi Ogos 2024 bagaimanapun mencatatkan penurunan 0.8 peratus kepada 71,162 unit…
Berita Domestik
“Gaji yang lebih tinggi secara automatik bermakna nisbah keberhutangan yang lebih baik dan kami…
Berita Global
Persatuan Pengilang Automobil China (CAAM) melaporkan bahawa 2.26 juta kenderaan telah dijual bulan…