Jualan hasil nombor pendaftaran siri ‘Malaysia’ untuk faedah rakyat

oleh HEZERI SAMSURI|
PUTRAJAYA: Kerajaan bersedia untuk membelanjakan pendapatan yang bakal diraih dari jualan siri nombor istimewa ‘Malaysia’ bagi meningkatkan lagi tahap pengangkutan awam di seluruh negara.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata hasil pendapatan daripada tender terbuka nombor pendaftaran kenderaan ‘Malaysia’ juga akan disalurkan sebagai subsidi untuk menampung cadangan pas bulanan RM100 untuk pengguna pengangkutan awam kelak.

“Kerajaan perlu menjana pendapatan lebih terutama sekali rancangan untuk salur subsidi pengangkutan awam kepada rakyat,” jelasnya pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Sa​ripuddin Kasim dan Ketua Pengarah Datuk Shaharuddin Khalid.

Bidaan nombor unik yang terbaru ini boleh dilakukan di pejabat-pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seluruh negara bermula dari 2 Julai sehingga tarikh tutup 16 Julai bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2018. 

 

 

Keputusan bidaan tersebut akan dipamerkan kepada umum bermula 23 Ogos yang akan bermula dengan ‘Malaysia 1’

“Kementerian menjangkakan boleh meraih pendapatan untuk nombor  siri ‘Malaysia’ melebihi  RM22.48 juta hasil daripada jualan nombor pendaftaran ‘V’ untuk Kuala Lumpur yang diperkenalkan dua tahun lalu, sambil menambah jualan untuk siri ‘F’ bagi Putrajaya telah mencecah RM17.55 juta.

Menurutnya, keputusan untuk memperkenalkan nombor pendaftaran ‘Malaysia’ telah dipersetujui oleh Kabinet minggu lepas.

Beliau menekankan bahawa 9,998 nombor siri di bawah ‘Malaysia’ adalah hanya untuk jualan dan tiada mendapat pengecualian istimewa kecuali Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kecuali untuk Perdana Menteri. Dia akan diberikan pilihan untuk mengambil nombor ‘Malaysia 2020’,” jelasnya, sebagai mengiktiraf pandangan Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Dr Mahathir sejak sekian lama.

Loke juga mengesahkan untuk memperkenalkan rancangan siri nombor mengikut nama negeri seperti ‘Selangor’, ‘Pahang’, ‘Kelantan’, ‘Sabah’ dan negeri-negeri lain berkemungkinan pada September atau Oktober.

“Ini boleh dilakukan selepas tender terbuka ‘Malaysia’ selesai,” katanya, sambil menjelaskan nombor pendaftaran istimewa berdasarkan orang perseorangan juga akan dilancarkan tahun ini.

Loke juga memberi contoh bahawa nanti kelak plat nombor kereta juga boleh diberi nama peribadi.

“(Nama seperti) Anthony atau John atau Ali atau Mahathir atau Najib. Sesiapa yang mampu membida untuk nombor plat istimewa mengikut nama sendiri," tambahnya.

Katanya, arahan juga telah diberikan kepada JPJ agar menghentikan penjualan segala nombor unik kepada NGO atau sebagai pemberian kepada pegawai atasan kerajaan.

“Bermula sekarang, sebarang hasil dari bidaan nombor istimewa akan terus pergi kepada kerajaan,” kata Loke.

“Contohnya, dari hanya bidaan nombor ‘F1’ dua tahun lalu, JPJ telah mengutip RM800,000. Tetapi kutipan tertinggi yabg direkodkan setakat ini adalah untuk ‘Patriot 1’ berjumlah RM1.3 juta.

“Namun sebenarnya, RM1.3 juta tidak beri pulangan kepada kerajaan. Ia pergi kepada sebuah NGO iaitu Yayasan Patriot Negara pada 2015.”

Namun begitu, Yayasan Patriot telah mengesahkan kepada Careta.my bahawa penjualan untuk ‘Patriot 1’ tidak kesampaian kerana pembida telah menarik diri di saat akhir pada tiga tahun lalu atas sebab-sebab keselamatan.

 

* Laporan oleh Shahrim Tamrin

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Domestik
TImbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERSIM), Kamarudin Mohd Hussain…
Berita Domestik
Siew Fook juga telah mengisytiharkan kesemua kenderaan yang masih tidak menukar beg udara Takata…
Berita Domestik
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kajian terhadap had minima umur itu perlu memandangkan…