Jual Honda ADV-150 harga melampau - premis diserbu KPDNHEP

oleh HEZERI SAMSURI|
Sebuah kedai menjual motosikal di kawasan Batu Caves diserbu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pagi tadi atas aduan orang awam yang mendakwa kedai itu menjual motosikal dengan peningkatan keuntungan yang melampau.

Menurut sumber yang diterima oleh Careta, aduan itu berkaitan sebutharga yang diterima secara rasmi oleh seorang pembeli yang berminat dengan model skuter Honda ADV 150.

Harga jualan yang diluluskan oleh kerajaan untuk model itu ialah RM10,492.33 tetapi dari sebutharga yang dilihat sendiri oleh Careta, harga yang dijual oleh kedai itu ialah RM14,053.13 (jualan tunai).

Kos tambahan yang tertera ialah:

  • Cukai jalan setahun: RM2.00
  • Insuran komprehensif: RM480.00
  • Insurans peribadi (perlindungan bernilai RM5,000): RM13.80
  • Nombor plet: RM40.00
  • Fi pendaftaran: RM5.00
  • Pendaftaran hak milik: RM20.00
  • Fi pengendalian: RM1,500.00
  • Lain-lain/Pengangkutan: RM1,500.00

Harga jualan itu ialah selepas insentif duti eksais motosikal 100 peratus yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada 17 Mac lalu.

Seperti yang dilihat, penjimatan dari insentif itu memang tidak diterima langsung oleh pengguna dan penjualan motosikal seperti tidak ada pengawasan dari mana-mana agensi kerajaan sehinggakan ada perbuatan mengambil keuntungan melampau tanpa sebab yang kukuh.
 

 

Dari pengalaman Careta sendiri, penambahan kos ketara sebanyak RM3,000 yang diletakkan di bawah fi pengendalian dan lain-lain itu bergantung kepada pengedar-pengedar motosikal sendiri.

Isu kelewatan pembeli menerima Honda ADV150 ini sudah berlangsung sejak ia dilancarkan dan Careta diberitahu bahawa ia sudah sampai ke pengetahuan Boon Siew Honda.

Namun begitu, industri penjualan motosikal "membenarkan" pengedar-pengedar berkuasa untuk menentukan harga jualan dan ini ditambah dengan masalah "under table" di mana mereka yang sanggup membayar lebih mahal akan menerima motosikal lebih awal dari yang sudah lama menempah.

Ada juga laporan dari pengguna berkaitan pengedar yang hanya mahu menjual motosikal secara bayaran ansuran dan menolak jualan tunai.

 

 

Ini ialah kes pertama yang Careta terima di mana orang awam membuat aduan rasmi kepada KPDNHEP dan tindakan susulan dilakukan oleh pihak kementerian.

Dalam kes ini, Careta difahamkan bahawa pegawai KPDHEP telah melawat premis jualan motosikal terbabit selama satu jam dan mendapati ia memang menjalankan jualan melebihi harga pasaran.

Satu notis telah dikeluarkan oleh KPDHEP kepada kedai terbabit untuk menjawab segala pertuduhan dalam masa tiga hari dari tarikh lawatan.


 

 

Untuk anda yang mengalami masalah yang sama, anda boleh melaporkan isu yang sama kepada KPDNKK melalui Whatsapp di +60 19-279 4317.

Selain dari itu, pengguna juga boleh membuat aduan melalui cara-cara di bawah:

  1. Portal eAduan https://eaduan.kpdnhep.gov.my 
  2. Aplikasi Ez ADU KPDNHEP (Android dan IOS)
  3. Call Center : 1800 – 886 - 800
  4. Emel ke [email protected] 

Pastikan anda memberikan nama penuh menurut kad pengenalan, nombor kad pengenalan (MyKad), alamat lengkap, nombor telefon, emel, nama premis diadu, alamat lengkap premis diadu, gambar bukti (resit, gambar produk), aduan transaksi dalam talian (nama bank, nombor akaun bank diadu, nombor transaksi FPX) dan keterangan aduan (isu yang mahu diadukan).

Dalam kes ini, pengadu telah membuat bayaran pendahuluan dan menerima sebutharga yang lebih tinggi dari apa yang diiklankan di media sosial. Pengadu yang merasakan dirinya ditindas terus membuat aduan kepada KPDNHEP.

Laporan lanjut akan menyusul sebaik sahaja ada perkembangan terbaharu berkaitan kes ini.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  "Kementerian juga telah mengarahkan semua KPDNHEP negeri yang bersempadan dengan Singapura dan…
Berita Domestik
  Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP…
Berita Domestik
  "Masyarakat menyalahkan Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung penjualan ekzos yang diubah…