JSPT siasat tindakan juruiring tahan kenderaan berat secara tiba-tiba

oleh Penyumbang Rencana|
Tindakan seorang juruiring menahan aliran trafik membabitkan sebuah kenderaan berat secara tiba-tiba menimbulkan pelbagai reaksi negatif daripada netizen.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri ketika dihubungi berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung kejadian itu.

"Pihak JSPT akan siasat kejadian yang berlaku dan daripada segi pematuhan kepada prosedur operasi standard," katanya ringkas.

Kejadian itu tular selepas satu klip berdurasi 35 saat dipercayai rakaman kamera papan pemuka kenderaan berat berkenaan dimuat naik di media sosial.

Rata-rata pengguna media sosial menyifatkan tindakan juruiring terbabit sebagai berbahaya memandangkan kenderaan berat secara amnya memerlukan jarak sesuai untuk memberhentikan kenderaan.

Tindakan memberhentikan kenderaan secara tiba-tiba dikhuatiri boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya atau lebih parah berlaku kematian.

Berdasarkan tarikh pada rakaman, kejadian dipercayai berlaku pada Selasa lalu di susur keluar sebuah lebuh raya memaparkan juruiring berkenaan menahan dua motosikal dan kenderaan berat dipercayai lori.

Video berkenaan yang dikesan tular sejak semalam kini sudah mencecah jutaan jumlah tontonan di media sosial.

Video di bawah:

Harian Metro