JSPT Kuala Lumpur - 661 saman dikeluarkan, 53 motosikal disita operasi 3 hari

oleh SALINA JALIL|
gambar ihsan dari PDRM
Polis mengeluarkan 661 saman atas pelbagai kesalahan serta menyita 53 motosikal kerana ekzos diubah suai menerusi Operasi Samseng Jalanan, Motosikal dan Pelbagai Kesalahan di sekitar ibu negara, selama tiga hari, berakhir awal pagi semalam.


Operasi dijalankan di pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Tun Razak, Jalan Kuching, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) bermula jam 10 malam kelmarin hingga 4 pagi tadi, disertai 82 pegawai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata pihaknya menerusi Op Tutup pula menyita 25 kereta yang membuat bising, mengganggu ketenteraman awam dan parkir di kiri serta kanan di Jalan Raja Laut, kelmarin.

 

Katanya, sebuah kereta disita adalah yang tular di laman YouTube bertajuk Proton Wira Turbo 4G15 200HP – Kau Rare Bang!.

 

"Semua kenderaan disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan.

 

"Kenderaan terbabit akan diambil tindakan dan diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal," katanya dalam kenyataan, semalam.

 

Sarifudin berkata, pihaknya juga menahan 22 lelaki berusia 20 hingga 67 tahun kerana memandu kenderaan bawah pengaruh alkohol.

 

Katanya, turut ditahan, lima lelaki berusia 17 hingga 25 tahun kerana menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya sambil melakukan aksi zig-zag, roket, superman serta bersaing.

 

"Semua lelaki terbabit dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 45(A) dan 42(1) APJ 1987.

 

"Penahanan dua lagi lelaki berusia 22 dan 25 tahun pula dilakukan mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) 1955 dan Seksyen 108(3)(e) APJ 1987 kerana memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

 

"Penahanan seorang lelaki warga China mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. Suspek berusia berusia 44 tahun itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi siasatan selanjutnya," katanya.

 

Sarifudin berkata, pihaknya akan terus memperhebatkan operasi pada hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan untuk menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

 

"Orang ramai yang ada pertanyaan atau maklumat berkaitan boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-20260267/69) atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

 

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kelima-lima mereka…
Berita Domestik
  Menurutnya, mereka ditahan selepas didapati menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya…
Berita Domestik
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri…