JPJ Wangsa Maju - SOP 'ke laut' gara-gara rebut nombor giliran!

oleh SALINA JALIL|
Orang awam berebut mendapatkan nombor giliran menjadi punca berlaku kesesakan dekat pintu pagar utama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju, di sini, kelmarin.


Ketua Polis Daerah Wangsa Maju , Superintendan Ashari Abu Samah, berkata pihaknya mendapat maklumat berhubung perkara itu semalam, selepas video menunjukkan sekumpulan individu tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tular di Facebook.

MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

"Hasil semakan mendapati kejadian itu berlaku antara jam 1 tengah hari hingga 2 petang berpunca daripada orang ramai berebut memasuki premis berkenaan bagi urusan di kaunter JPJ yang mana hanya 50 nombor giliran diberi pada sesi petang.

 

"Keadaan itu diburukkan lagi dengan kehadiran orang ramai untuk menjelaskan saman tertunggak diberi diskaun hingga 70 peratus oleh JPJ," katanya dalam kenyataan, hari ini.

 

Ashari berkata, tarikh akhir pemberian diskaun sepatutnya berakhir 11 Jun ini namun ditukar kelmarin kerana sekatan pergerakan penuh dalam PKP 3.0 dilaksanakan bermula semalam.

 

Katanya, ia mengakibatkan orang ramai mengambil kesempatan untuk menyeu kaunter pembayaran saman pada saat akhir.

 

"Pihak keselamatan JPJ Wangsa Maju menghubungi polis untuk bantuan selepas keadaan tidak terkawal. Pasukan Pemantau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju hadir di lokasi. Setelah melihat kehadiran pihak polis, orang ramai mula bersurai bagi mengelak dikenakan kompaun," katanya.

 

Beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19.

 

"Tindakan tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat yang melanggar SOP dan tidak menjaga penjarakan fizikal boleh menyebabkan penularan wabak COVID-19. Tindakan kompaun boleh dikenakan terhadap mereka yang masih ingkar," katanya.

 

 

 

 

Berita Harian