JPJ Umum Penambahbaikan Prosedur Pemeriksaan PUSPAKOM Bermula 1 Jun 2025

oleh Qalif Latif|
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mengumumkan dua penambahbaikan utama terhadap prosedur pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) seperti PUSPAKOM Sdn Bhd, berkuat kuasa 1 Jun 2025. Langkah ini bertujuan memperketatkan standard keselamatan kenderaan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna.

Penambahbaikan tersebut melibatkan dua aspek penting iaitu pemeriksaan ketebalan bunga tayar dan pemeriksaan khusus terhadap kenderaan berat jenis dumper tipper.

Untuk pemeriksaan tayar, JPJ kini menetapkan bahawa semua kenderaan perdagangan, termasuk yang digunakan untuk perkhidmatan awam dan pengangkutan barang, mesti mempunyai ketebalan bunga tayar sekurang-kurangnya 1.6mm di seluruh permukaan tayar yang bersentuhan dengan jalan. Sebelum ini, PUSPAKOM hanya memeriksa 75% daripada permukaan tayar yang diperiksa.

Manakala bagi kenderaan berat jenis dumper tipper, JPJ dan PUSPAKOM akan memastikan tiada pengubahsuaian yang melebihi spesifikasi asal yang diluluskan. Kenderaan tidak boleh memiliki pagar sisi (side board) yang melebihi pelan teknikal seperti yang diluluskan oleh APAD. Pemilik juga perlu mengemukakan Surat Tawaran Kelulusan (STK) atau permit semasa pemeriksaan, terutamanya jika membawa muatan khas seperti baja, arang batu, fly ash, gypsum, habuk kayu, jagung, palm kernel dan padi.

Sekiranya kenderaan gagal dalam pemeriksaan, pemilik diberikan dua pilihan:

  1. Merujuk kepada APAD untuk pembetulan atau pengeluaran permit baharu mengikut pelan asal.

  2. Membuat pengubahsuaian semula terhadap struktur seperti pagar sisi dan memastikan ia mematuhi kod badan asal sebelum dihantar semula ke PUSPAKOM.

JPJ menegaskan bahawa penambahbaikan ini akan meningkatkan tahap keselamatan kenderaan di jalan raya, mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan kepatuhan terhadap syarat pengendalian muatan khas. JPJ juga komited untuk memastikan perkhidmatan pemeriksaan oleh PUSPAKOM menjadi lebih efisien, berkesan dan selamat.

Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman rasmi JPJ di www.jpj.gov.my.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Katanya, wanita terbabit memaklumkan dia menggunakannya kenderaan berkenaan sejak minggu lalu…
Berita Domestik
​Menurutnya, sebelum ini pihak syarikat telah dijatuhi hukuman denda sebanyak RM11,000 serta…
Informasi
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang promosi atau tawaran kerja…