Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu Zamri Sameon berkata, orang ramai yang membeli kereta klon ibarat menjerat diri sendiri dan bakal menanggung kerugian kerana pihaknya pasti akan dapat mengesan setiap kenderaan klon.
"Setiap kenderaan yang diklon akan disita dan selepas disahkan klon menerusi pemeriksaan secara terperinci, kes itu akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan permohonan lucut hak.
Zamri berkata, beberapa jenis kenderaan yang dikategorikan sebagai mewah dan murah dikatakan menjadi 'umpan' sindiket bagi menarik keinginan orang ramai untuk membelinya.
Menurutnya, model yang paling banyak dikesan adalah Honda membabitkan model Odyssey selain Jazz serta beberapa jenama lain seperti Toyota Alphard, Subaru dan Volkswagen.
"Suatu ketika dahulu, Terengganu memang menjadi sasaran sindiket memasarkan kenderaan klon dan berdasarkan rekod pada 2016, kita menyita 66 buah," katanya
Kata beliau, berikutan itu, operasi besar-besaran dijalankan dan pada 2017, bilangan kenderaan klon yang disita turun mendadak kepada 19 buah, 2018 (23), 2019 (18), 2020 (7) dan masing-masing dua pada 2021 serta 2022.
Namun katanya, pihaknya percaya sindiket terbabit kembali aktif dengan peningkatan jumlah yang kenderaan yang disita iaitu masing-masing empat buah pada 2023 dan tahun lalu.
"JPJ akan meningkatkan semula operasi bagi mengekang kemasukan kenderaan klon di negeri ini sebelum ia menjadi 'barah' selain mengelak orang ramai menanggung kerugian besar kesan daripada memiliki kenderaan terbabit," katanya.