Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah, berkata 205 kenderaan diperiksa dan 132 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan serta 171 notis dikeluarkan termasuk saman, sita dan arah periksa.
"Bagi tindakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sejumlah 91 kes direkodkan dengan 11 kenderaan disita, membabitkan 10 motosikal dan sebuah kereta. Seramai 12 individu menjalani saringan air kencing dan semua didapati negatif.
"Sementara itu, JPJ merekodkan 41 kes dengan pengeluaran 80 notis atas pelbagai kesalahan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebuah motosikal Yamaha 135LC dikenakan 13 saman atas kesalahan ubah suai ekstrim termasuk tidak mempunyai lesen memandu dan lesen kenderaan yang tamat tempoh sejak 2018.
"Motosikal itu disita untuk tindakan lanjut oleh pihak JPJ, manakala sebuah kereta jenis Honda turut disita atas kesalahan menukar enjin tanpa kebenaran.
"Operasi dilaksanakan susulan kegiatan menduga kelajuan dan aktiviti kumpulan motosikal rempit serta kumpulan berkereta di sekitar LTSIP yang turut mendapat perhatian Menteri Pengangkutan," katanya.