Langkah ini dilaksanakan di bawah peruntukan Kaedah 4A, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, yang melarang kenderaan barang dan kenderaan perkhidmatan awam daripada menggunakan lorong kanan secara berterusan kecuali bagi tujuan memotong.
Menurut JPJ, pemanduan berterusan di lorong paling kanan oleh kenderaan berat boleh menimbulkan risiko kemalangan yang tinggi, selain mengganggu kelancaran aliran trafik. Maka, tindakan tegas akan diambil bagi membendung perkara ini yang semakin membimbangkan.
Bagi mereka yang melakukan kesalahan ini, boleh dikenakan kompaun maksimum RM300. Jika disabitkan kesalahan di mahkamah, pesalah boleh dikenakan:
-
Bagi sabitan pertama: denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan
-
Bagi sabitan kedua dan seterusnya: denda tidak melebihi RM4,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali
JPJ menegaskan bahawa penguatkuasaan secara berterusan akan dilaksanakan di seluruh negara bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang jalan raya ditingkatkan. Ini selaras dengan komitmen JPJ untuk mengurangkan kemalangan yang melibatkan kenderaan perdagangan, yang dalam banyak kes mengakibatkan kehilangan nyawa di jalan raya.
Orang ramai juga digalakkan untuk melaporkan kesalahan lalu lintas membabitkan kenderaan berat melalui aplikasi MyJPJ (menu e-Aduan@jpj) atau dengan menghantar emel ke [email protected].
Ketua Pengarah JPJ menutup kenyataan dengan menegaskan bahawa keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab semua pihak, dan JPJ akan terus bertindak tegas demi melindungi pengguna jalan raya.