JPJ pantau larangan kenderaan berat tengah malam ini

oleh Hamimah Hamid|
JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melakukan pemantauan penguatkuasaan larangan kenderaan berat menggunakan jalan raya sempena Aidilfitri bermula 12 tengah malam ini.

Penolong Pengarah (Operasi) Bahagian Penguatkuasa JPJ, Mohd Alifarihan Abdullah berkata, rondaan akan dibuat secara berkala di setiap laluan pada Khamis dan Jumaat serta pada 24 dan 25 April ini.

Katanya, tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku keingkaran daripada pengusaha kenderaan barangan tersebut.

 

"Kategori kenderaan berat yang membawa bahan binaan ini tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh itu.

 

"Terdapat pengecualian diberikan melibatkan kenderaan yang membawa barangan keperluan serta kenderaan yang menjalankan kerja kecemasan seperti kren yang bertujuan mengalihkan kenderaan terlibat kemalangan," katanya. 

 

Menurut Mohd Alifarihan, saman akan dikeluarkan kepada pemandu yang melanggar peraturan tersebut. 

 

Katanya, JPJ akan menahan dan menyita kenderaan yang dilarang beroperasi pada tarikh tersebut.

 

"Kita juga menasihatkan kepada pengusaha agar dapat mematuhi larangan tersebut demi keselamatan pengguna lebuh raya lain," katanya.

 

Kata beliau, pihaknya akan memfokuskan terhadap penguatkuasaan tujuh kesalahan yang tidak dibenarkan untuk dikompaun.

 

"Kesalahan itu adalah membabitkan memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

 

"Selain itu, pemeriksaan secara rawak di hentian rehat dan rawat akan dilakukan dan memberi advokasi keselamatan kepada kumpulan penunggang motosikal. Kita berusaha untuk mengurangkan kadar kemalangan melibatkan kenderaan dua tayar ini sepanjang operasi ini," katanya.