JPJ Negeri Sembilan - 339 saman dikeluarkan, kesalahan tertinggi tiada lesen serta cukai jalan

oleh SALINA JALIL|
gambar ihsan JPJ
Lebih separuh daripada 339 saman yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan dan Operasi Khas Motosikal di sekitar daerah ini membabitkan kesalahan lesen memandu serta cukai jalan.


Operasi itu dilaksanakan di susur masuk dan keluar Plaza Tol Nilai serta Jalan Persiaran Pusat Bandar Baru Nilai di sini, malam kelmarin.


Pengarah JPJ Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf berkata, operasi turut disertai Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

"Kami memeriksa 601 motosikal, 168 kereta, 22 kenderaan barangan, tujuh kenderaan perkhidmatan awam dan 12 lain-lain kenderaan.

"Sebanyak 339 saman dikeluarkan. Kesalahan tiada lesen memandu mencatatkan saman paling tinggi iaitu 93 saman diikuti cukai jalan tamat tempoh sebanyak 90 saman," katanya.

 

Menurut beliau, JPJ juga mengeluarkan lima saman atas kesalahan lesen tamat tempoh dan 65 saman kerana tiada insurans kenderaan.

 

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan 78 saman terhadap kesalahan teknikal antaranya membabitkan cermin gelap dan tiada cermin sisi.

 

Tambah beliau, JAS mengeluarkan dua kompaun manakala JIM menahan dua individu, masing-masing seorang wanita Indonesia dan seorang lelaki Pakistan, kerana kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 selain polis mengeluarkan 30 saman trafik.

 

"Kesalahan membabitkan tiada lesen memandu, cukai jalan dan insurans kenderaan masih mencatatkan jumlah paling tinggi dalam kalangan pengguna jalan raya meskipun sudah banyak sesi advokasi dilaksanakan.

 

"Kebanyakan yang disaman kerana kesalahan berkenaan membabitkan golongan muda yang menunggang motosikal. Kami menyeru ibu bapa supaya lebih bertanggungjawab terhadap anak masing-masing," katanya.

 

 

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, operasi dijalankan bermula kira-kira jam 9 pagi…
Informasi
MyEG berkata kedua-dua syarikat itu masing-masing menerima surat pelantikan daripada JPJ pada Isnin…
Berita Domestik
  "Operasi hingga 31 Okt ini melibatkan pemeriksaan kenderaan komersial secara menyeluruh,…