JPJ - Masalah kewangan alasan ramai penunggang motosikal tiada lesen

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Memandu tanpa lesen yang sah dikenal pasti sebagai kesalahan utama yang sering dilakukan oleh pengguna jalan raya di sepanjang Operasi Khas (Op Khas) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Johor sepanjang musim Hari Raya Aidiladha kali ini.

Menurut Pengarah JPJ Negeri Johor, Azmil Zainal Adnan, perkara itu secara keseluruhannya memberikan gambaran bahawa tahap kesedaran orang ramai terhadap pematuhan peraturan-peraturan keselamatan jalan raya terutamanya melibatkan kenderaan-kenderaan persendirian masih berada pada skala yang rendah.

“Setakat hari ini (Rabu), kita telah buat pemeriksaan terhadap 90,280 kenderaan dan mengeluarkan sebanyak 14,536 saman atas pelbagai kesalahan dan 3,691 atau 26 peratus daripadanya merupakan kesalahan gagal memiliki lesen memandu yang sah.

“Daripada jumlah itu, kita juga dapati rata-rata mereka yang gagal memiliki lesen memandu ini merupakan golongan penunggang motosikal dengan alasan yang diberikan kebanyakannya berkait dengan kewangan.

“Apa pun, itu hanyalah alasan kerana kita dah pun laksanakan program MyLesen untuk kerajaan bantu rakyat, khususnya golongan B40 untuk dapatkan lesen memandu..

"Kalau mereka tidak ada kemampuan untuk dapatkan lesen, sepatutnya daftar dengan program yang kita buat ni untuk dapatkan lesen,” katanya.

Azmil berkata demikian ketika sidang akhbar ketika pelaksanaan Operasi Khas Pengangkutan Hari Raya Aidiladha di Plaza Tol Skudai, arah selatan, pada Rabu.

Sementara itu Azmil berkata, selain kesalahan memandu tanpa lesen, Ops Khas yang dilaksanakan mulai 10 Jun dan bakal berakhir 30 Jun ini, pihak JPJ Negeri Johor turut mengesan sebanyak 2,551 atau 18 peratus kesalahan gagal memperbaharui atau tiada Lesen Kenderaan Malaysia (LKM) termasuk 2,238 atau 16 peratus tiada perlindungan insurans.

Selain itu katanya, seramai 818 atau enam peratus pemandu yang mengamalkan sikap memandu tidak selamat dan berisiko tinggi dengan melanggar sembilan kesalahan utama yang menjadi punca kepada kemalangan maut.

“Kita juga kenal pasti sembilan kesalahan utama seperti melanggar lampu isyarat, potong garisan berkembar guna telefon bimbit masa memandu dan sebagainya yang menjadi punca kepada kemalangan-kemalangan maut yang berlaku.

“Dalam masa sama, JPJ Negeri Johor, turut mengesan dan membuat sitaaan terhadap 360 kenderaan atas kesalahan tidak selamat atau tidak layak untuk berada di jalan raya,” katanya.

 

Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menerusi senarai yang dipaparkan oleh JPJ pada hantaran Facebook, kenderaan Mercedes-Benz…
Berita Domestik
Pemeriksaan lanjut nombor casis oleh anggota JPJ Selangor kemudian membongkar motosikal jenis…
Berita Domestik
Tahun lalu, nombor plat keluaran khas FF1 yang bernilai RM1.2 juta juga menjadi milik Seri Paduka…