Lesen aktif jadi syarat kelayakan
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, status lesen memandu memainkan peranan penting dalam menentukan kelayakan penerima subsidi tersebut, justeru semua pemegang lesen dinasihatkan memastikan lesen mereka sentiasa aktif.

"LMM yang diklasifikasikan aktif ialah lesen yang tamat sah lakunya tidak melebihi 36 bulan dari tarikh akhir pembaharuan sebelumnya."
"Dalam tempoh ini, pemegang lesen masih layak menerima subsidi BUDI95 dan boleh memperbaharui lesen secara terus tanpa sebarang ujian tambahan," katanya dalam satu kenyataan.
Tamat lebih tiga tahun perlu ambil ujian semula
Menurut beliau, bagi lesen yang telah tamat tempoh melebihi 36 bulan, pembaharuan tidak lagi boleh dibuat secara biasa. Sebaliknya, pemegang lesen perlu menjalani semula ujian kompetensi memandu di institut memandu yang diiktiraf.
Langkah itu bermakna pemilik lesen yang terlalu lama dibiarkan tamat tempoh bukan sahaja berdepan kesukaran untuk memperbaharuinya, malah turut kehilangan akses kepada subsidi bahan api bersasar berkenaan.
JPJ nasihat orang ramai jangan tunggu terlalu lama
Sehubungan itu, semua pemegang LMM diingatkan supaya sentiasa memperbaharui lesen dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan status menjadi tidak aktif, sekali gus menyebabkan mereka hilang kelayakan untuk menerima subsidi BUDI95.
JPJ turut menegaskan bahawa mana-mana individu yang memandu kenderaan motor perlu memastikan lesen memandu mereka masih berkuat kuasa dan sah digunakan di jalan raya.
"JPJ akan terus komited memperkukuh penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus dan berintegriti, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara," katanya
Sumber: Media Selangor