Beliau berkata, bagi tempoh antara 15 hingga 20 November lalu, sebanyak 159 notis saman sudah pun dikeluarkan kepada pemandu atau pemilik kenderaan persendirian syarikat yang masih berstatus pra daftar VEP.
"Kita banyak kompromi daripada segi melonggarkan alasan, tetapi sekarang sudah tiba masanya kita meningkatkan lagi penguatkuasaan daripada segi alasan yang sepatutnya boleh diperbaiki dan boleh ditambah baik daripada yang sedia ada ini.
"Jumlah pemilik kenderaan asing yang belum mengaktifkan RFID ini membabitkan 16,404 kenderaan persendirian individu dan 7,798 persendirian syarikat.
"Sehingga 20 November, sebanyak 345,238 tag RFID dikeluarkan oleh JPJ kepada pemilik kenderaan asing, namun sebahagiannya masih tidak mengaktifkan tag berkenaan meskipun tempoh yang mencukupi telah diberikan," katanya pada sidang media selepas Operasi Khas Penguatkuasaan VEP JPJ di susur keluar, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru pada Jumaat malam.
Beliau berkata saman yang dikenakan wajib dibayar sebelum keluar dari Malaysia mengikut Seksyen 66J Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, sejak pelaksanaan VEP pada 1 Julai lalu, JPJ sudah memeriksa 65,039 kenderaan dan mengeluarkan 4,634 saman tiada VEP dengan jumlah kompaun mencecah RM1.39 juta di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) serta di Taman Daya, di sini.
JPJ turut menggesa semua pemilik kenderaan asing segera mengaktifkan tag RFID VEP bagi mengelakkan gangguan perjalanan di pintu masuk dan keluar Malaysia-Singapura.