Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, majoriti pemandu yang dikesan melakukan kesalahan adalah warga Thailand yang membawa kenderaan penumpang memasuki negara ini.
“Setakat ini, JPJ mengutip RM2.5 juta hasil saman tertunggak yang dilakukan pemandu warga asing terutama dari Thailand.
“Tunggakan saman yang paling tinggi dikesan di Perlis, dan ada satu kenderaan memiliki beberapa tunggakan saman dengan nilai keseluruhan saman berjumlah RM65,000,” katanya selepas operasi pemantauan dan pemeriksaan bas sempena Hari Raya Aidilfitri di Terminal Bas Lembah Sireh pada Jumaat malam.
Muhammad Kifli berkata, pihaknya akan mempergiat lagi operasi untuk mengesan pemandu warga asing yang culas membayar tunggakan saman dan menggesa supaya mereka segera melangsaikan tunggakan sebelum boleh meneruskan perjalanan.